News_archive

Perubahan Kepimpinan Sarawak: Kami Tahu Masa Yang Tepat, Kata Najib

By Saturday March 19th, 2011 No Comments

SERIAN, 19 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah pun tahu masa yang tepat untuk melakukan perubahan kepada kepimpinan di negeri ini.

Najib berkata beliau dan Taib mempunyai ‘persefahaman yang sangat baik’ mengenai masa untuk membuat pengumuman berhubung perkara itu.

“Saya tahu beliau telah bersedia. Apabila tiba masanya, beliau sedia beredar dari arena dan kami mempunyai persefahaman yang sangat baik mengenai bilakah ia akan berlaku,” katanya ketika berucap pada program ‘Senada Sejiwa’ di sini hari ini.

Program itu yang mengetengahkan pameran produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan, dianjurkan oleh kerajaan Sarawak.

Najib berkata perubahan kepimpinan negeri bukanlah suatu perkara yang boleh didesak memandangkan peralihan yang lancar merupakan perkara paling utama.

“Janganlah desak tapi ikutlah tradisi yang baik dalam negara kita, yang penting peralihan kuasa yang tertib tersusun supaya kepimpinan baru yang ambil alih nanti boleh membawa Sarawak kepada keadaan yang lebih baik lagi,” kata Najib.

Menerusi peralihan kuasa yang lancar, beliau berkata kerajaan persekutuan akan dapat membantu Sarawak mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Katanya pendekatan ini, yang telah diterima oleh kalangan masyarakat Malaysia nyata bukan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang memandangkan mereka mengharapkan perubahan radikal menerusi demonstrasi jalanan atau rusuhan.

Najib berkata perubahan kepimpinan yang lebih disukai oleh Barisan Nasional mengambil kira kestabilan dan pembangunan yang berterusan.

Katanya pembangunan pesat yang berlaku di Sarawak sejak beliau menjadi Perdana Menteri dua tahun lepas sebahagian besarnya disebabkan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Malah Ketua Menteri turut mengakui bahawa belum pernah Sarawak menikmati peruntukan yang begitu besar dan ia dilakukan bukan kerana pilihan raya tetapi yang penting ialah memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, katanya.

Sementara itu di SAMARAHAN, Najib menafikan lawatannya yang kerap ke Sarawak disebabkan pilihan raya negeri itu akan diadakan tidak lama lagi, malah akan kerap melawat ke negeri itu, terutama ke kawasan pedalaman.

“Jangan percaya kepada ubat yang dijual oleh pembangkang yang hanya datang pada musim pilihan raya sahaja,” katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Masyarakat Semera, Sadong Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) akan menunaikan semua janji yang telah dibuat walaupun pelaksanaannya kadangkala lewat daripada perancangan kerana masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM133.8 juta bagi kawasan Parlimen Batang Sadong yang turut meliputi Dewan Undangan Negeri kawasan Sadong Jaya bagi pelbagai projek pembangunan yang bakal dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Lebih 5,000 penduduk kampung menyambut ketibaan Perdana Menteri pada pukul 12.45 tengah hari, yang merupakan lokasi ketiga lawatan Najib sejak pagi ini meliputi Kuching dan Serian.

Perdana Menteri turut mengadakan tinjauan mesra di sekitar kampung itu, termasuk menunaikan solat Zohor berjemaah bersama penduduk tempatan di Masjid Riadzusyalihin.

Selepas sembahyang, Najib melawat gerai nelayan yang terletak berhampiran masjid tersebut bersama Taib, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut bergotong-royong mengecat Surau Darul Makmor dan beramah mesra dengan penduduk di situ.

Sadong Jaya merupakan kawasan perkampungan pesisiran sungai yang mengandungi beberapa buah kampung termasuk Kampung Semera, Kampung Semera Hilir/Laut, Ulu Semera, Semera Masjid, Semera Cina dan Semera Lot.

Sumber : Bernama

Leave a Reply