News_archive

Pertumbuhan Ekonomi Dibayangkan Lebih 6.0 Peratus, Kata PM

By Thursday February 17th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis membayangkan kadar pertumbuhan ekonomi negara berada pada tahap lebih daripada 6.0 peratus bagi 2010.

Bagaimana pun, beliau berkata pengumuman rasmi mengenai angka terbaru kadar pertumbuhan ekonomi itu hanya akan dilakukan pada Jumaat.

“Esoklah…pengumumannya akan dibuat esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pemantapan dan pemasyarakatan Dewan Negara, Parlimen Malaysia di Dewan Bankuet Parlimen di sini pada Khamis.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Malaysia mampu mencapai kadar pertumbuhan berganda pada masa akan datang, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata: “Tidak, kita tidak boleh (capai pertumbuhan sedemikian). Ini disebabkan anda perlu memahami bahawa ekonomi Malaysia kini lebih besar daripada semasa 20 tahun lepas.”

“Sedang kita bergerak menjadi ekonomi yang matang, kita tidak boleh mencapai pertumbuhan berganda tetapi kita boleh mencapai paras agak tinggi, Dan saya merasakan 6.0 peratus boleh disifatkan prestasi yang boleh dibanggakan.

“Kita perlu menjadi realistik. Tiada negara maju boleh capai pertumbuhan berganda.”

Dalam pada itu, Najib berkata Malaysia mampu mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020 berikutan Malaysia adalah negara perdagangan utama.

“Saya rasa boleh. Bargantung kepada persekitaran luar yang agak menyulitkan kerana kita ini adalah negara perdagangan utama. Kalau kita tidak dapat permintaan luaran yang kukuh, ia akan menjejaskan pencapaian ekonomi Malaysia.

“Dengan syarat, kalau faktor luaran itu positif, tidaklah begitu melonjakkan tapi positif secara sederhana, insyaallah boleh dicapai,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply