Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Pertingkat kerjasama ASEAN+1 - Najib Razak
News_archive

Pertingkat kerjasama ASEAN+1

By Sunday May 31st, 2009 No Comments

JEJU, Korea Selatan 1 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak yang berpendapat sudah tiba masanya bagi Kerjasama ASEAN+1 bersama rakan dialognya termasuk Korea Selatan dipertingkatkan, hari ini menggariskan tiga langkah utama untuk mencapai tahap baru hubungan itu yang lebih matang.

n Pertama, memperhebatkan tahap kerjasama dengan memanfaatkan sepenuhnya perkongsian strategik baru termasuk di bawah Perjanjian Pelaburan ASEAN-Korea Selatan yang akan ditandatangani esok.

n Kedua, mengenal pasti kaedah untuk mengembangkan kerjasama Asia Timur di luar batas ASEAN dan Korea Selatan.

n Ketiga, bekerjasama menggalakkan penyertaan negara Asia lain ke dalam proses integrasi untuk manfaat serantau dan sistem perdagangan dunia.

Perdana Menteri menegaskan keadaan ekonomi dunia semasa mewajarkan bagi ASEAN, Korea Selatan dan negara Asia Timur lain untuk melaksanakan langkah-langkah tersebut.

“Krisis kewangan dan ekonomi yang melanda dunia sekarang dan pengalaman kegawatan ekonomi Asia 1997 menunjukkan bahawa usaha memperteguh kerjasama Asia Timur dalam kedua-dua bidang itu bukan lagi satu pilihan tetapi sesuatu yang perlu dilakukan.

“Pengalaman kita mampu menyumbang kepada rantau Asia Timur yang kuat dan dinamik yang bukan sahaja bermanfaat untuk rantau ini bahkan bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dunia.

“Justeru kita perlu memperkukuh daya ketahanan ekonomi Asia Timur. Kita mesti menggunakan kerjasama ASEAN+1 untuk memperluaskan kerjasama di kalangan negara rantau itu,” katanya.

Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada upacara penutup Sidang Kemuncak Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASEAN-Korea Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Jeju di sini hari ini.

Beliau kurang berpuas hati dengan kurangnya kesungguhan dalam kalangan masyarakat perniagaan ASEAN dan Korea Selatan untuk bertindak memanfaatkan potensi dan peluang yang disediakan oleh kerajaan menerusi pelbagai inisiatif di bawah hubungan kerjasama itu.

Tegas Perdana Menteri, kerajaan anggota ASEAN dan Korea Selatan telah mempermudahkan untuk mereka menjalankan perniagaan dengan mewujudkan rejim perdagangan dan pelaburan yang telus, liberal dan cekap.

“Mulai tahun depan, kita akan melihat aliran perdagangan lebih bebas apabila ASEAN dan Korea Selatan menghapuskan duti import ke atas sejumlah besar produk. Ini adalah langkah yang signifikan diambil oleh kedua-dua pihak demi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan ia tidak patut dilepaskan oleh sektor swasta begitu sahaja,” katanya.

Najib percaya persidangan dua hari yang meliputi pelbagai topik bertemakan “Perubahan, Cabaran dan Kerjasama untuk Kemakmuran Asia” telah berjaya mencanai dan melahirkan idea-idea konstruktif untuk memastikan daya saing ekonomi rantau dapat diperbaiki dan dimanfaatkan.

Beliau menggesa para CEO dan kapten perniagaan supaya meneroka idea-idea baru dan mengambil langkah sewajarnya untuk mempererat dan memperkukuh kerjasama ekonomi khususnya dalam pembangunan sektor perkhidmatan seperti terkandung di bawah Perjanjian Perdagangan dalam Perkhidmatan ASEAN-Korea yang berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Dalam hal ini, Perdana Menteri mencadangkan diwujudkan satu mekanisme khusus untuk sektor swasta menyalurkan maklum balas mengenai kekangan yang mereka hadapi ketika mengembangkan perdagangan dan aliran pelaburan di antara ASEAN dan Korea Selatan.

“Tanpa maklum balas daripada sektor swasta, agak sukar bagi kerajaan untuk membuat penambahbaikan bagi menyediakan persekitaran perniagaan yang lengkap dan selesa sesuai dengan suasana integrasi ekonomi serantau yang kita cita-citakan,” katanya.

Perdana Menteri juga mahu melihat peranan perusahaan kecil dan sederhana (SME) sebagai penyumbang kepada ekonomi dipertingkatkan selaras dengan penubuhan Pusat Perdagangan, Pelaburan, Pelancongan dan Kebudayaan ASEAN-Korea Selatan di Seoul.

Mengenai hubungan ASEAN-Korea Selatan yang kini berusia 20 tahun, beliau menyifatkannya cukup signifikan kerana ia mewakili perjalanan hidup dari kanak-kanak hingga dewasa bagi individu, manakala dalam hubungan pula menunjukkan tahap kematangan, persefahaman dan penerimaan di samping menikmati keselesaan hidup bersama.

“Untuk memastikan hubungan yang sedia terjalin itu kekal sihat dan matang, pihak-pihak terlibat perlu berusaha untuk tidak mengabaikan satu sama lain. Mereka juga perlu berubah di mana yang patut, mencabar yang lain menghadapi cabaran selain bekerjasama,” katanya.

Perjanjian Pelaburan ASEAN-Korea yang akan dimeterai esok melengkapkan Kerangka Perjanjian ASEAN-Korea untuk Kerjasama Ekonomi.

Najib gembira sungguhpun proses melengkapkan kerangka perjanjian itu sangat mencabar tetapi semangat kerjasama ASEAN dan Korea Selatan membolehkan kedua-dua pihak berjaya memuktamadkan rundingan.

“Ini menunjukkan komitmen ASEAN dan Korea untuk membawa hubungan kita ke tahap lebih tinggi menerusi penyatuan ekonomi kedua- dua pihak. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah membina dan mengambil kesempatan daripada kemudahan yang ada tersedia,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply