News_archive

Pertandingan Sayembara Novel 1Malaysa Dibuka Kepada Masyarakat Global – Najib

By Friday March 9th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penganjuran Pertandingan Sayembara Novel 1Malaysia yang dibuka kepada penulis dari seluruh dunia.

Beliau berkata pertandingan itu yang merupakan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa, dibuka kepada masyarakat global tanpa mengira usia dengan syarat karya dihasilkan dalam bahasa Melayu.

“Saya berharap sayembara ini akan menghasilkan lebih banyak karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu yang bercitrakan keharmonian kehidupan, pentadbiran, ekonomi, sistem pemerintahan dan pendidikan,” katanya ketika merasmikan pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2012, di sini Khamis malam.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut hadir pada pertandingan yang disertai 69 peserta dari 64 negara itu.

Najib berkata pertandingan sayembara novel itu akan dikendalikan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Najib berkata ia mampu menjadi asas kukuh ke arah menjadikan bahasa Melayu bertaraf supranasional iaitu berkembang subur bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Saya menyanjung usaha beberapa pihak merencana serta memulakan usaha merancakkan pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu dengan mewujudkan pusat-pusat pengajian di seluruh dunia bagi tujuan mengajar bahasa Melayu,” katanya.

Subjek pengajian Melayu katanya sudah diajar di puluhan universiti di seluruh dunia termasuk Eropah, Afrika dan Amerika Utara.

Najib berkata bahasa Melayu yang kaya dengan keindahan dan kehalusan santun serta langgamnya juga berpotensi menjadi bahasa ilmu, ikhtisad dan sains.

Menurutnya, keunggulan bahasa Melayu sudah lama diiktiraf dunia sejak seawal kurun ke-15 apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut meliputi bahasa Melayu, dan hasil awalnya ialah penyusunan daftar kata Cina-Melayu.

Beliau berkata bahasa Melayu juga telah lama diiktiraf sebagai bahasa diplomasi di rantau ini.

“Buktinya, UNESCO mengiktiraf surat-surat Sultan Kedah dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi pada abad ke-19 kepada kerajaan Inggeris suatu ketika dahulu sebagai salah satu warisan dunia,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply