Blog

Persidangan Akauntan Antarabangsa

By Wednesday November 5th, 2014 No Comments

Dalam Persidangan Akauntan Antarabangsa 2014 anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang saya rasmikan semalam, saya telah memaklumkan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan tetap dilaksanakan kerajaan bermula 1 April tahun depan. Setakat ini, jumlah syarikat yang telah mendaftar untuk GST adalah 120,000, dan saya percaya jumlah ini akan meningkat ke 200,000 menjelang hujung tahun ini.

Sejurus dengan itu, saya memanggil badan-badan profesional seperti MIA untuk memainkan peranan penting dalam bahagian pelaksanaan GST melalui bantuan serta sokongan penuh kepada para peniaga dengan memastikan mereka berdaftar dan bersedia untuk GST. Selain itu, kumpulan industri dan kerajaan juga perlu bekerjasama bagi memastikan kawal selia berkaitan GST adalah berkesan.

Pada kesempatan sama, saya turut menggesa penggiat industri, tidak kira sama ada syarikat multinasional mahupun pengawal selia, supaya bekerjasama dengan kerajaan dalam membangun dan memperkukuhkan kedudukan serta keupayaan kerjaya perakaunan. Kerajaan telah dan akan meneruskan dasar bagi membangunkan kerjaya ini dengan mengguna pakai piawai bertahap antarabangsa serta memberi sokongan kepada para akauntan melalui rangka kerja yang dirancang dengan teliti. Inisiatif sebegini diambil kerana permintaan yang tinggi terhadap akauntan bertauliah dan profesional dijangka akan terhasil dalam perjalanan kita menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Bertitik tolak daripada itu, kehadiran peserta yang begitu ramai pada persidangan ini menandakan bidang perakaunan di Malaysia kini berkembang pada kadar yang tepat, dengan rata-rata peserta muda-muda belaka! Selain merasmikan persidangan, saya juga sempat melawat tapak pameran dan beramah mesra dengan peserta. Malah, sempat juga mengambil gambar selfie beramai-ramai!

nr1

nr2

nr3

nr4

Leave a Reply