Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Persatuan Teksi Mahu LPKP Yang Lebih Baik Di Bawah JPM - Najib Razak
News_archive

Persatuan Teksi Mahu LPKP Yang Lebih Baik Di Bawah JPM

By Thursday April 16th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) — Persatuan-persatuan pemandu teksi di bandaraya ini berharap agar pengurusan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menjadi lebih baik apabila diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Harapan mereka itu termasuklah masalah ‘lapuk’ seperti permohonan dan pembaharuan permit dapat dikendali dan diselesaikan dengan betul dan sistematik.

Saranan ini dibuat selepas kerajaan mengumumkan semalam untuk meletakkan LPKP di bawah JPM bagi mewujudkan sebuah badan baru yang dikenali sebagai Lembaga Pengangkutan Kebangsaan.

Setiausaha Kehormat Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad Mohd Salleh Mat Zin berkata adalah menjadi harapan koperasi agar kerajaan memudahkan permohonan dan kelulusan permit tanpa campur tangan banyak pihak.

“Susah hendak dapat permit jika banyak kementerian campur tangan. Pemandu keliru, tidak tahu hendak rujuk siapa, jadi kerajaan kena berusaha keras untuk bantu mereka bagi memudahkan urusan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Khamis.

Beliau berkata dasar sebelum ini yang memberikan permit kepada individu perlu diteruskan dan tidak patut dikembalikan kepada syarikat kerana akan membebankan pemandu dari segi kewangan.

“Jika ini berubah, ia boleh mendatangkan masalah kewangan kepada pemandu yang terpaksa membayar sewa kepada syarikat berbanding permit mereka sendiri,” katanya.

Harapan yang sama turut disuarakan Pengerusi Persatuan Pengusaha, Pemandu Teksi dan Kereta Sewa, Borhan Karim yang mahu pengurusan LPKP yang sistematik di bawah pengurusan baru.

“Masalah mendapatkan permit bukan isu baru. Kerajaan kena teruskan kesinambungan kementerian dahulu yang mengutamakan pemandu dalam mendapatkan permit sendiri.

“Kebajikan (pemandu) harus dijaga kerana apabila wujudnya dasar atau kementerian baru, pastinya mereka tidak mahu ia menyusahkan mereka termasuk dalam mendapatkan permit,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Pemandu Teksi Bekas-Bekas Perajurit Wilayah Persekutuan Abdul Samad Saim berkata kerajaan perlu mempercepatkan kelulusan mendapatkan atau memperbaharui permit di bawah satu pihak yang tertentu sahaja.

“Ada kes yang ahli berumur 59 tahun tapi masih gagal lagi dapatkan permit walaupun sudah mengisi borang, sudah lengkap tetapi ditolak.”

Beliau berkata persatuan turut mengharapkan agar kerajaan tegas dalam pemberian permit seperti tidak dipajak kepada orang lain dengan akhirnya pihak tertentu yang mendapat untung walhal pihak lain yang berusaha keras mencari rezeki.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan semalam berkata kerajaan bersetuju menyerapkan fungsi dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dimansuhkan termasuk LPKP ke lapan kementerian.

Beliau berkata LPKP diletak di bawah JPM dan tidak berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan kerana peranan dan fungsi badan baru itu akan merentasi pelbagai kementerian.

Sumber : Bernama

Leave a Reply