News_archive

'Perpaduan 1Malaysia tak hapuskan identiti kaum'

By Monday June 15th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, perpaduan yang diteraskan oleh gagasan ‘1Malaysia’ amat berbeza daripada konsep asimilasi di negara lain yang melenyapkan identiti sesuatu kaum atau etnik.

Perdana Menteri berkata, ‘1Malaysia’ tidak akan melenyapkan mana-mana identiti kaum untuk menggantikan dengan identiti nasional yang sama.

“1Malaysia juga sangat berbeza dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ seperti yang diilhamkan parti pembangkang.

 “Ia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat,” katanya.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara), di Dewan Rakyat semalam yang mahu Perdana Menteri menyatakan gagasan ‘1Malaysia’ daripada pelaksanaan dan penerapan kepada masyarakat majmuk di negara ini.

Sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam adalah yang pertama kali dihadiri Najib sebagai Perdana Menteri. Mesyuarat kedua penggal kedua Parlimen Ke-12, itu akan bersidang selama tiga minggu sehingga 2 Julai depan.

Najib berkata, gagasan ‘1Malaysia’ kekal berteraskan Perlembagaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam perkara 3, 4, 152, 153 dan bahagian 2 serta 3.

Berikutan itu, Najib meminta semua pihak tidak bimbang atau menaruh syak bahawa konsep itu akan terpesong daripada yang dipersetujui pengasas kemerdekaan.

“Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply