Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Perlumbaan F1 Sumbang Pendapatan Kepada Malaysia : Najib - Najib Razak
News_archive

Perlumbaan F1 Sumbang Pendapatan Kepada Malaysia : Najib

By Thursday March 22nd, 2012 No Comments

SEPANG, 23 Mac (Bernama) — Penganjuran perlumbaan Formula One, acara sukan terbesar di negara ini, telah menyumbang kepada pendapatan sektor pelancongan di Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata perlumbaan F1 menjadi penggerak pertumbuhan kepada negara ini yang meraih pelbagai manfaat menerusi penglibatan dalam acara itu.

Dalam kata-kata aluannya dalam buku cenderahati perlumbaan F1 yang akan berlangsung di Litar Antarbangsa Sepang (SIC) pada Ahad ini, beliau berkata pengendali SIC melaporkan bahawa acara Grand Prix Malaysia tahun lepas telah menjana RM200 juta daripada kegiatan ekonomi.

Daripada satu tinjauan yang dibuat selepas acara itu, pelancong asing yang datang untuk menyaksikan Grand Prix Malaysia membelanjakan sehingga RM7,000 setiap seorang bagi tempoh purata enam hari.

“Ini adalah hasil sampingan daripada perlumbaan Formula One yang menyumbang kepada pendapatan sektor pelancongan,” katanya.

Najib berkata Formula One merupakan satu platform paling berkesan untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia.

“Malaysia ditonton dan didengar di 187 negara yang mempunyai sejumlah 500 juta orang, dan ini adalah hasil daripada Formula One.

“Kita perlu menggalakkan perlumbaan ini bukan saja kepada pasaran tempatan tetapi juga menarik perhatian seluruh rantau Asean. Dengan menggunakan kesempatan daripada perlumbaan ini, kita dapat meningkatkkan pendedahan memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah destinasi dan tempat untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Najib berkata bahawa selain pelancongan, perlumbaan Formula One juga memberi manfaat kepada sektor lain.

“Ia melonjakkan lagi rasa bangga rakyat tempatan, meningkatkan kemampuan kejuruteraan menerusi penglibatan Petronas dan Proton dalam sukan ini dan pemindahan ilmu di peringkat antarabangsa daripada segi kepakaran menganjur acara ini,” kata Perdana Menteri.

Najib mengulangi komitmen kerajaan Malaysia untuk terus menyokong acara itu dan menawarkan apa saja bantuan bagi menjayakannya.

Dengan tiga pasukan membawa lambang Malaysia dalam perlumbaan tahun ini, Perdana Menteri berkata beliau yakin acara kali ini akan menjadi sesuatu yang istimewa kepada rakyat Malaysia.

Pasukan-pasukan yang mempunyai kaitan dengan Malaysia ialah Mercedes, Lotus dan Caterham.

“Kita bangga dengan penglibatan mereka dalam perlumbaan ini dan ia merupakan penyertaan terbanyak oleh sesebuah satu negara.

“Saya harap ketiga-tiga pasukan ini memberikan saingan yang kuat dan membuat Malaysia bangga,” katanya.

Ini merupakan kali ke-14 Malaysia menganjurkan perlumbaan F1 ini sejak 1999.

Sumber : Bernama

Leave a Reply