Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Perlu ada sikap saling hormat - Najib Razak
News_archive

Perlu ada sikap saling hormat

By Tuesday May 12th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 12 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pakatan pembangkang dan kerajaan perlu mempunyai sikap saling hormat-menghormati jika kedua-dua pihak mahu bekerjasama bagi menangani kemelut politik di Perak.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau sehingga kini tidak dapat mengesahkan kemungkinan akan ada kerjasama seumpama itu kerana belum melihat syarat-syarat yang ditetapkan pihak pembangkang.

”Saya tidak tahu apa syaratnya. Ini (mengadakan kerjasama) bergantung pada syarat yang ditetapkan pihak pembangkang.

”Bagaimanapun, paling penting ialah untuk kita hormat antara satu sama lain. Kita perlu menghormati hak pembangkang dan pihak pembangkang juga perlu menghormati hak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan penemuan saintifik terbaru Sime Darby Berhad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini yang sedia bekerjasama dengan beliau bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak yang bermula sejak BN mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada pakatan pembangkang tiga bulan lalu.

Kit Siang berkata, beliau melihat isu itu sebagai perkara yang penting dan perlu diberi perhatian segera supaya kemelut terbabit tidak berpanjangan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri yang perlu memberi tumpuan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau menyerahkan kepada Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menentukan tindakan seterusnya selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan beliau meneruskan tugas sebagai Menteri Besar seperti biasa sehingga keputusan rayuan diumumkan.

”Saya tidak tahu. Ini terpulang kepada Zambry untuk membuat keputusan dan kita telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan kerana kita menghormati proses undang-undang,” ujarnya.

Mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, beliau berkata, ia terpulang kepada Sultan Azlan Shah untuk membuat keputusan.

Tambah Najib, khabar angin bahawa Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan perkembangan terbaru politik itu juga adalah tidak benar.

”Saya tidak tahu dan perlu memeriksa diari saya terlebih dahulu, tetapi (mesyuarat) bukan malam ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Najib menjelaskan, ketidakhadiran Tun Abdullah Ahmad Badawi ke Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-63 semalam adalah kerana bekas Perdana Menteri itu berada di luar negara.

”Beliau telah beberapa kali memberitahu saya bahawa dia akan menghadiri satu persidangan di Bandar Raja Abdullah, Arab Saudi.

”Saya gembira beliau pergi ke sana kerana sekurang-kurangnya Malaysia mempunyai wakil pada persidangan berkenaan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply