Press Statement

Perlantikan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)

By Sunday June 6th, 2010 No Comments
YAB Perdana Menteri Malaysia hari ini mengumumkan perlantikan YB Tan Sri Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang telah ditubuhkan pada 3 Jun 2010. Pelantikan YB Tan Sri Syed Hamid berkuat kuasa pada tarikh yang sama. YAB Perdana Menteri juga akan melantik Pesuruhjaya-Pesuruhjaya lain bagi menganggotai Suruhanjaya ini, walau bagaimanapun pengumuman tentang pelantikan-pelantikan tersebut akan dibuat pada waktu yang akan ditentukan kemudian.
YAB Perdana Menteri juga secara rasminya melantik En. Mohd Nur Ismal Bin Mohamed Kamal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SPAD berkuat kuasa pada 3 Jun 2010.
Suruhanjaya ini ditubuhkan setelah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan dalam sesi Parlimen yang lepas. SPAD akan memainkan peranan utama dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam tanah air yang merupakan salah satu dari Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
Suruhanjaya yang terletak di bawah pemantauan YAB Perdana Menteri ini akan membawa hampir semua aspek berkaitan pengangkutan darat di Malaysia   pentadbiran satu badan induk, bermula dengan pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia pada peringkat permulaannya dan pengangkutan awam di Sarawak dan Sabah di peringkat yang berikutnya. Objektif utama penubuhan Suruhanjaya ini adalah bagi membentuk dasar-dasar berkaitan pengangkutan awam, mengawal selia dan merancang perkhidmatan rel, bas dan teksi serta pengangkutan barangan melalui rel dan jalan raya.
Bagi menjayakan objektif ini SPAD akan mengambil alih fungsi-fungsi beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Keretapi Malaysia, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta fungsi Pesuruhjaya Pelancongan dalam urusan perlesenan bas-bas pelancongan.
Paling utama, Suruhanjaya ini dipertanggungjawabkan bagi merealisasikan inisiatif-inisiatif di bawah Bidang keberhasilan utama Nasional Tentang Pengangkutan Awam ke arah meningkatkan mutu pengangkutan awam bagi keselesaan dan kesenangan semua pengguna pengangkutan darat. Ini termasuklah sistem transit bas, integrasi pelbagai bentuk perkhidmatan pengangkutan awam, peningkatan kecekapan dan ketepatan serta penguatkuasaan peraturan dan undang-undang secara lebih berkesan.

Leave a Reply