News_archive

Perjanjian FTA Mengenai Pelaburan Tanda Kejayaan Sidang Kemuncak Asean-Korea

By Wednesday June 3rd, 2009 No Comments

PULAU JEJU (Korea Selatan), 3 Jun (Bernama) — Majlis menandatangani Perjanjian Pelaburan Asean-Korea merupakan antara hasil utama Sidang Peringatan Ulang Tahun Asean-Korea Selatan yang diadakan di Pulau Jeju.

Ini kerana perjanjian itu akan meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara Asean dan Korea Selatan di mana nilai perdagangan antara kedua-dua pihak dijangka meningkat kepada AS$150 bilion (AS$1=RM3.48) menjelang 2015.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucaptamanya pada sesi penutup Sidang Kemuncak CEO Asean-Korea pada Isnin berkata majlis menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-Korea mengenai pelaburan melengkapkan Perjanjian Rangka Kerja mengenai Kerjasama Ekonomi Menyeluruh antara Asean dan Korea.

Perjanjian perdagangan itu melengkapkan Perjanjian Perdagangan Barangan yang ditandatangani pada 26 Ogos 2006 dan Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan pada 21 Nov 2007.

Najib berkata walaupun proses melengkapkan Perjanjian Rangka Kerja itu mencabar tetapi “semangat kerjasama” telah membolehkan Asean dan Korea menjayakan rundingan itu.

Ia menandakan komitmen Asean dan Korea untuk menjayakan hubungan mereka ke tahap yang lebih tinggi menerusi lebih banyak integrasi dalam ekonomi mereka, katanya.

“Kita sekarang mesti memulakannya dan menggunakan kelebihan infrastruktur yang kita telah bina,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed, ketika ditemui oleh wartawan Malaysia sewaktu sarapan pagi di sini semalam, bersetuju dengan Najib dan berkata Perjanjian Perdagangan itu akan memudahkan dan menggalakkan pelaburan antara Malaysia dan Korea.

Ia juga akan menggalakkan pelaburan keluar Malaysia ke rantau ini dan memudahkan lagi integrasi syarikat-syarikat Malaysia ke dalam ekonomi serantau, katanya.

Tidak dapat dapat dinafikan, perjanjian itu akan menggalakkan kemasukan pelaburan dan mewujudkan rejim pelaburan yang liberal, memudahkan, telus dan berdaya saing di Asean dan Korea.

Ia juga akan menjadikan rejim pelaburan lebih liberal, mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pelabur Asean dan Korea serta pelaburan mereka dan menggalakkan kerjasama atas dasar keuntungan bersama.

Selain itu, ia juga akan menggalakkan dan meningkatkan aliran pelaburan dan kerjasama antara Asean dan Korea, meningkatkan ketelusan dalam peraturan pelaburan dan menyediakan perlindungan pelaburan.

“Perjanjian itu menggabungkan kajian semula mekanisme untuk meningkatkan ketelusan pelaburan dan untuk membincangkan rejim pelaburan yang lebih liberal oleh Asean dan Korea,” kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan selepas majlis menandatangani perjanjian itu oleh semua menteri ekonomi 10 negara Asean dan Korea Selatan, dan disaksikan pemimpin-pemimpin mereka.

Mustapa menandatangani perjanjian itu bagi pihak Malaysia.

Sewaktu sidang kemuncak itu, Najib juga mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Vietnam Nguyen Tan Dung pada Isnin dan Presiden Korea Selatan Lee Myung-bak semalam.

Sewaktu pertemuannya dengan Lee, Najib kagum dengan teknologi hijau yang digalakkan oleh Korea Selatan, terutama reaktor nuklear berskala kecil, yang digunakan rakyat Korea untuk menjana elektrik kerana ia bukan sahaja selamat tetapi tidak mengeluarkan karbon berbanding stesen yang menggunakan arang batu.

Beliau juga diberitahu oleh Presiden Korea itu bahawa kos untuk menghasilkan tenaga elektrik itu hanyalah satu pertiga daripada kos menghasilkan elektrik menerusi stesen menggunakan arang batu.

Ini menyebabkan Najib telah meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi untuk melawat Korea secepat mungkin untuk belajar dan meneliti kemungkin mengaplikasikan teknologi hijau yang digunakan Korea di Malaysia.

Bagi Korea, Sidang Kemuncak Asean-Korea akan menyediakan peluang penting bagi Presiden Lee untuk berkongsi doktrin diplomatik barunya yang dipanggil “Inisiatif Asia Baru”.

Di bawah inisiatif baru itu, yang diumumkan pada Mac lepas sewaktu lawatannya ke ibu negara Indonesia Jakarta, Korea berhasrat untuk memperbaiki hubungannya dengan semua negara Asia dan menggalakkan kepentingan bersama mereka di peringkat global.

Sumber : Bernama

Leave a Reply