Speeches

Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan dan Perasmian Portal Myprocurement

By Thursday April 1st, 2010 No Comments

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera,

YB Dato’ Seri Ahmad Husni bin Mohd Hanadzlah,
Menteri Kewangan II,

YB Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon,
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,

YB. Dato’ Shaziman bin Abu Mansor,
Menteri Kerja Raya,

Timbalan-timbalan Menteri Kewangan,

Y.Bhg. Tan Sri Mohd Sidek bin Hj. Hassan,
Ketua Setiausaha Negara,

Y.Bhg. Tan Sri Ismail bin Adam,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,

Y.Bhg. Tan Sri Dr. Wan Abd Aziz bin Wan Abdullah,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,

Ketua- ketua Setiausaha Kementerian,

Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Kewangan serta tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita berkumpul di perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan dan majlis pelancaran Portal MyPROCUREMENT – Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan pada pagi ini. Saya amat berbesar hati dengan kehadiran semua ke majlis yang penuh bermakna ini. Ianya menandakan sokongan dan komitmen pegawai perkhidmatan awam serta pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) terhadap Program Transformasi Kerajaan (GTP) ke arah era baru pentadbiran.

Tuan-tuan dan puan-puan,

2. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Malaysia telah banyak mengecap kejayaan, namun ia tidak terkecuali daripada dilanda oleh gejala rasuah, seperti negara-negara lain juga. Namun ini tidak bermakna kita harus menerima “status quo” seadanya. Rasuah adalah ibarat barah yang boleh menghancurkan masyarakat dan negara. Komitmen kerajaan terhadap usaha memerangi rasuah terbukti melalui penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hakikat bahawa salah satu dari enam bidang keberhasilan utama (NKRA) negara adalah memerangi rasuah.

3. sehubungan dengan itu Kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk membanteras gejala rasuah. Usaha-usaha ini memerlukan keazaman politik yang kuat dengan kerjasama dan sokongan sektor awam, sektor swasta dan semua lapisan masyarakat. Ini merupakan prasyarat utama bagi mewujudkan sebuah negara yang bersih dari amalan rasuah.

4. Sejajar dengan aspirasi untuk menghapuskan rasuah ini, Kerajaan telah mengumumkan inisiatif “Membanteras Rasuah” sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP). Antara aspek yang ditekankan adalah untuk menumpukan usaha ke arah meningkatkan tahap ketelusan dan integriti dalam urusan perolehan Kerajaan.

5. Salah satu langkah terkini yang diambil ialah membangunkan Portal MyPROCUREMENT – Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan yang boleh dicapai menerusi laman web Perbendaharaan. Matlamat utama Portal MyPROCUREMENT ini ialah untuk meningkatkan ketelusan dan memastikan keseragaman dalam penyebaran maklumat berkaitan perolehan Kerajaan. Melalui laman web ini, Kerajaan akan memaparkan pelbagai maklumat berkaitan perolehan Kerajaan seperti:

· iklan tender;
· keputusan tender;
· dasar perolehan Kerajaan;
· tatacara perolehan Kerajaan;
· soalan-soalan lazim;
· Integrity Pact, dan lain-lain.

Sebagai permulaan, portal ini memaparkan senarai iklan tender dan keputusan tender semua Kementerian dari bulan Jun 2009 sehingga yang terkini. Untuk mendapatkan butiran terperinci tender, pautan ke laman web kementerian yang berkaitan turut disediakan. Di masa akan datang, portal ini akan dilengkapi dengan lebih banyak maklumat bagi membantu orang awam atau syarikat yang mengambil bahagian dalam urusan perolehan Kerajaan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

6. Selama ini, persepsi orang ramai terhadap urusan perolehan Kerajaan adalah kurang memuaskan. Malah, ada suara-suara yang membangkitkan ketidakseragaman dalam penyebaran maklumat mengenai tawaran tender Kerajaan, ketidakadilan dalam proses pemilihan tender dan bermacam lagi. Ada yang berpendapat bahawa Kerajaan kurang mengambil berat atau tidak mempunyai “strong political will” untuk memperbetulkan isu-isu tersebut. Portal MyPROCUREMENT ini akan memaparkan maklumat berkaitan perolehan bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat yang diperlukan. Sebelum ini, maklumat berkaitan tatacara perolehan telah pun sedia dipaparkan di dalam laman web Perbendaharaan, manakala maklumat berkaitan iklan dan keputusan tender boleh dilayari di laman web setiap Kementerian ataupun di portal MyGovernment.

7. Untuk memperkemaskan peraturan dan prosedur perolehan sedia ada, banyak usaha telah diambil oleh Kementerian Kewangan antaranya melalui ;
· Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) Bil. 5 Tahun 2007 mengenai Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara Tender;
· SPP Bil. 5 Tahun 2009 mengenai Tatacara Pengurusan Perolehan Secara Sebut Harga;
· SPP Bil. 9 Tahun 2009 berkaitan Had Kuasa Lembaga Perolehan Agensi;
· SPP Bil. 5 Tahun 2000 mengenai Pelaksanaan ePerolehan Di Bawah Program Kerajaan Elektronik;
· SPP Bil. 3 Tahun 2009 mengenai Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara eBidding Melalui Sistem ePerolehan;
· Surat Arahan Perbendaharaan (SAP) Bertarikh 21 Mac 2008 mengenai Garis Panduan Penilaian Tender; dan
· SAP bertarikh 28 Februari 2009 mengenai Peringatan Mengenai Kesalahan Rasuah Dalam Dokumen Perolehan Kerajaan

8. Sebenarnya, Kementerian Kewangan sentiasa membuat pembaharuan dan mengguna pakai best practices yang diamalkan oleh badan antarabangsa dan negara lain serta selaras dengan United Nation Commission on International Trade Law (UNCITRAL) Model Law on Procurement dan Asia-Pacific Economic Corporation (APEC). Walau bagaimanapun, perubahan-perubahan yang dilaksanakan ini mungkin tidak mendapat perhatian ramai kerana ianya tidak dihebahkan dengan jelas. Dengan adanya portal MyPROCUREMENT ini, saya berharap agar semua pihak akan mendapat maklumat yang tepat mengenai perolehan Kerajaan serta mengetahui perkembangan dan pembaharuan dalam perolehan Kerajaan.

9. Peraturan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kewangan hendaklah dipatuhi oleh Agensi Kerajaan yang telah diberi kuasa melaksanakan sendiri perolehan mereka selaras dengan konsep “decentralisation” dan “let managers manage”. Oleh itu, portal ini adalah penting sebagai pusat pengumpulan maklumat perolehan daripada semua Kementerian. Saya ingin mengingatkan semua Pegawai Pengawal supaya memberi komitmen untuk memastikan semua maklumat berkaitan iklan dan keputusan tender Kementerian masing-masing sentiasa dikemas kini dan dimuat naik dalam laman web masing-masing. Maklumat yang dimuat naik mestilah tepat dan cepat (timely) bagi menjamin integriti data tersebut agar tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak memandangkan maklumat tersebut dipaparkan untuk pengetahuan umum.

10. Saya menyeru kepada semua pihak, baik dari pihak Kerajaan mahupun pihak swasta atau orang awam, agar mengekalkan tadbir urus terbaik dan tahap integriti yang tinggi dalam urusan perolehan Kerajaan. Sebagai satu langkah untuk meningkatkan integriti dan mengelakkan rasuah dalam urusan perolehan Kerajaan, mulai 28 Februari 2009 Kementerian Kewangan telah pun mensyaratkan satu klausa khas berkaitan Integrity Pact dimasukkan dalam semua teks perjanjian yang berkaitan dengan kontrak perolehan Kerajaan. Sebagai tambahan, mulai 1 April 2010 iaitu mulai hari ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

· Kesemua pembida dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida;
· Pembida berjaya dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida Berjaya; dan
· Seterusnya menandatangani teks perjanjian yang mengandungi Klausa Pencegahan Rasuah Dalam Perolehan Kerajaan

Saya dimaklumkan bahawa Surat Arahan Perbendaharaan bertarikh 1 April 2010 berkaitan langkah-langkah mengenai integrity pact seperti yang saya nyatakan tadi disampaikan kepada semua Pegawai Pengawal pada pagi ini. (Semua KSU sila pastikan surat berkenaan ada dalam pek masing-masing). Semua inisiatif ini dilakukan demi untuk memperbaiki dan memperkukuhkan tahap integriti dan ketelusan sistem perolehan Kerajaan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Saya dimaklumkan bahawa portal ini telah dibangunkan secara “in-house” dengan kepakaran Pegawai-Pegawai Kementerian Kewangan sendiri tanpa menggunakan khidmat daripada luar. Saya amat berbangga atas daya usaha mereka dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kementerian Kewangan Malaysia atas komitmen mereka dalam membangunkan portal ini dalam masa yang begitu singkat, khususnya lima (5) bulan lebih awal daripada masa yang telah dijadualkan. Sesungguhnya, hasil kerja mereka berjaya mencerminkan sikap serius dan azam anggota perkhidmatan awam untuk merubah Kerajaan agar lebih cekap dan berfokus pada pencapaian.

12. Akhir kata, adalah diharapkan dengan pelancaran portal MyPROCUREMENT ini bukan sahaja memudahkan capaian maklumat perolehan yang terkini, tetapi juga sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan integriti dan ketelusan dalam penyebaran maklumat perolehan Kerajaan.

13. Dengan lafaz bismillahi rahmani rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Portal MyPROCUREMENT.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply