Blog

Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri

By Monday December 8th, 2014 No Comments

Dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini, saya telah memaklumkan bahawa antara perkara utama yang perlu diberi perhatian teliti untuk tahun hadapan adalah berkenaan keamanan, keharmonian dan keselamatan negara.

Antara yang menjadi ancaman utama negara ketika ini adalah kumpulan militan Islamic State (IS), dan kerajaan memandang serius akan hal ini dan telah pun membentangkan kertas putih mengenainya.

Tambahan, mengekalkan keamanan antara kaum juga adalah antara cabaran yang dihadapi. Kesemua ini antara sebab mengapa Akta Hasutan dikekal dan dipinda, dan bukan untuk menyekat demokrasi atau mencengkam pembangkang.

Selain itu, saya turut menyentuh beberapa isu lain seperti solidariti, isu rasuah serta budaya berprestasi tinggi. Penyatuan negara atau solidariti perlu dititikberatkan. Walaupun saya akui ia akan mengambil masa, tetapi kita perlu memainkan peranan dengan menunjukkan kematangan yang tinggi atas dasar saling hormat-menghormati.

Mengenai isu rasuah, kerajaan telah mencadangkan supaya undang-undang dipinda agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemberi rasuah. Berhubung budaya berprestasi tinggi pula, saya menggesa agar kakitangan awam menanam budaya ini dari segi cara bekerja, inovasi serta kreativiti.

Kalau kita memberi perhatian kepada empat perkara ini (keamanan, keharmonian dan keselamatan negara; solidariti; isu rasuah; dan budaya berprestasi tinggi), Malaysia akan lebih cemerlang pada tahun akan datang, insya-Allah.

Leave a Reply