News_archive

Perdana Menteri Sampai Ucaptama Pada Kongres Profesor Negara Khamis Ini

By Isnin Julai 4th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan ucaptama serta merasmikan Kongres Profesor Negara (MPN) yang menghimpunkan lebih 1,000 orang profesor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis ini.

Timbalan Pengerusi MPN Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata kongres sempena setahun penubuhan MPN itu juga bakal mencatat sejarah apabila ucaptama Perdana Menteri berjudul “Knowledge Transforming The Nation” akan dikupas oleh Prof Dr Michael E. Porter dari Harvard Business Scholl, Universiti Harvard secara langsung menerusi sidang video.

Shamsul Amri berkata ucaptama itu juga akan dibahaskan oleh Ketua Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, yang turut bertindak sebagai moderator pada majlis yang bermula pada pukul 7.30 malam di Dewan Merdeka, PWTC.

Prof Dr Michael diiktiraf sebagai bapa strategi moden yang merupakan antara pemikir berpengaruh dalam pengurusan dan daya saing di peringkat global serta tersohor dalam bidang strategi kompetitif, pembangunan ekonomi serta aplikasinya dalam masalah sosial seperti kesihatan, alam sekitar dan tanggungjawab korporat.

Shamsul Amri berkata kongres selama tiga hari itu bermula Rabu ini dengan majlis penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Bercakap pada sidang media pelancaran kongres itu, Shamsul Amri berkata selain Najib, kongres julung kali yang menghimpunkan pelbagai lapisan pemikir untuk menyatakan pendirian dalam satu suara iaitu “transformasi” itu juga akan diserikan dengan syarahan perdana bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjudul “Mentransformasi Negara Melangkau 2020”, pada pukul 4 petang Rabu.

Selain itu, kongres juga bakal menampilkan syarahan utama Prof Dr Nay Htun yang berpengalaman lebih 25 tahun berkhidmat di Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pembantu setiausaha agung badan itu.

Selain syarahan dari tokoh terbilang, kongres itu juga akan membincangkan pelbagai topik bagaimana untuk mentransformasikan negara daripada perspektif sains, teknologi dan inovasi serta sains kemanusiaan.

“Tujuan kongres diadakan adalah untuk mengemukakan resolusi mengenai agenda transformasi negara kepada kerajaan. Jadi, semua resolusi daripada perbincangan itu kita kumpul, bahas dan perincikan sebelum diserahkan untuk pertimbangan kerajaan,” katanya.

Ditubuhkan atas inisitif Perdana Menteri pada 1 April tahun lepas, MPN yang kini dianggotai oleh 1,700 profesor daripada pelbagai universiti awam tempatan berperanan menyumbang input dan mencadangkan penyelesaian kepada isu-isu penting negara.

“Kongres ini akan memperkukuhkan lagi peranan dan sumbangan golongan profesor sebagai pemikir negara yang mampu menawarkan idea dan jalan penyelesaian terhadap cabaran semasa dan mendatang dalam usaha membantu kerajaan menjayakan agenda transformasi negara,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply