News_archive

Perdana Menteri Prihatin Bantu Masyarakat India – Devamany

By Monday February 27th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat prihatin dan ikhlas dalam membantu masyarakat India di negara ini, kata Naib Presiden MIC, Datuk S K Devamany.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata segala inisiatif, keputusan dan pengumuman yang dibuat oleh Najib ternyata memberi inspirasi baru kepada masyarakat India mengenai komitmen dan kesungguhan Perdana Menteri dalam memahami keperluan serta membantu kaum itu.

Najib ketika menghadiri sambutan Pesta Ponggal di Kapar, Klang Ahad malam mengumumkan jumlah pelajar India di kolej matrikulasi di negara ini akan ditingkatkan daripada 559 orang sekarang kepada lebih 1,500 orang pada sesi 2012/2013.

“Ini jelas membuktikan keikhlasan dan komitmen Perdana Menteri serta pimpinan kerajaan Barisan Nasional dalam membantu masyarakat India menuju masa depan yang cemerlang. Jadi peluang mengikuti kursus di Kolej Matrikulasi milik kerajaan itu perlu digunakan sebaik mungkin,” kata Devamany dalam satu kenyataan media di sini Isnin.

Mengucapkan terima kasih di atas pengumuman itu, beliau berkata slogan ‘Nambikkai’ (Kepercayaan) yang diutarakan Najib setiap kali bertemu masyarakat India jelas meyakinkan masyarakat India terhadap kepimpinan Najib.

Sumber : Bernama

Leave a Reply