News_archive

Perdana Menteri lawat Johor

By Sunday April 19th, 2009 No Comments

JOHOR BAHRU: Lawatan rasmi pertama Datuk Seri Najib Razak ke negeri ini, selepas memegang jawatan Perdana Menteri bulan lalu, menyaksikan seramai 2,000 orang akan menyambut beliau bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSI), Senai, hari ini.

Najib dan isteri akan turut diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh mempunyai jadual kerja padat sejurus tiba di LTSI, kira-kira jam 9 pagi.

Setiausaha Umno negeri, Datuk Ali Hassan, berkata walaupun ramai yang bekerja pada hari ini, berdasarkan maklum balas diterima daripada 26 Umno bahagian di negeri ini, ramai yang menyatakan persetujuan untuk menyambut rombongan Perdana Menteri.

“Najib bukan asing di kalangan rakyat Johor kerana beliau adalah sebahagian anak Johor, disebabkan ibunya, Toh Puan Rahah Mohd Noah adalah anak kelahiran Johor sehingga berkahwin dengan Tun Abdul Razak Hussein.

“Justeru, Umno negeri amat berbangga kerana beliau menjadikan Johor, negeri pertama yang dilawatinya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno selain status Johor sebagai kubu kuat Umno parti serta Barisan Nasional,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply