News_archive

Perdana Menteri Lawat China 2-5 Jun

By Wednesday May 20th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan rasmi ke China pada 2 hingga 5 Jun ini, kata Menteri Luar Datuk Anifah Aman.

Beliau berkata selain mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, lawatan itu dilakukan khas sempena ulangtahun ke-35 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Najib ke negara itu atas kapasiti Perdana Menteri, katanya.

“Lawatan ini akan digunakan untuk mengukuhkan hubungan kedua-dua negara khususnya dari aspek perdagangan, di samping meninjau kerjasama di dalam sektor lain termasuk pendidikan,” katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Anifah juga berkata Najib akan berlepas ke Singapura esok untuk lawatan ke negara itu dengan diiringi oleh isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib dan Anifah.

“Perdana Menteri akan berada di Singapura sehingga 22 Mei dan akan bertemu dengan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong serta Menteri Kanan Goh Chok Tong,” katanya.

Ketika ditanya sama ada isu jambatan bengkok akan dibincangkan pada pertemuan itu, Anifah berkata: “Ia mungkin akan dibincangkan, mungkin juga tidak. Bergantung kepada mereka”.

Sumber : Bernama

Leave a Reply