News_archive

Perdana Menteri Lancar 364 PDM Seluruh Pulau Pinang Ahad Ini

By Friday April 20th, 2012 No Comments

GEORGE TOWN, 20 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan 364 pusat daerah mengundi (PDM) di seluruh Pulau Pinang sempena lawatan kerjanya ke negeri ini pada Ahad ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata pelancaran itu akan diadakan pada majlis perjumpaan bersama pemimpin persekutuan tempatan Barisan Nasional (BN) di Ballroom Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal.

“Pada majlis itu Perdana Menteri yang juga Presiden Umno akan menyampaikan amanat penting kepada pemimpin bagi memantapkan gerak kerja jentera di peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata 5,000 pemimpin tempatan dijangka hadir pada majlis itu.

Najib juga dijadual melawat penduduk di perkampungan Cina serta menyampaikan kunci rumah kepada ibu tunggal empat anak yang terpaksa tinggal di tokong selama sebulan kerana tiada rumah setelah kediamannya musnah berbakar.

Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri kenduri rakyat 1Malaysia di Kampung Simpang Tiga, kawasan Parlimen Nibong Tebal sebelum menghadiri majlis perjumpaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) India, Cina, pensyarah, pemimpin pelajar dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) di Kompleks Cahaya Siswa, USM.

Sumber : Bernama

Leave a Reply