News_archive

Perdana Menteri Hadir Pada Tayangan Perdana ‘The Lady’

By Wednesday April 25th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan tayangan perdana filem ‘The Lady’ lakonan aktres Hollywood kelahiran Malaysia Datuk Michelle Yeoh di Golden Screen Cinema (GSC) Pavillion, di sini Selasa malam.

Tayangan perdana sempena ‘Voice of Children Charity Premiere’ itu turut dihadiri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Pemegang watak utama filem sebagai pejuang demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi, Yeoh yang turut hadir pada tayangan perdana itu menyerahkan replika cek berjumlah RM100,000 hasil sumbangan individu kepada Pengerusi ‘Voice of Chidren’ Sharmila Sekaran.

Filem The Lady arahan pengarah terkenal Perancis Luc Benson, yang terkenal dengan karya-karya sebelum ini seperti Nikita, The Fifth Element dan The Messenger: The Story of Joan of Arc, memaparkan kisah hidup Suu Kyi.

“The Lady” menceritakan kisah cinta epik antara sepasang suami isteri iaitu Suu Kyi dan David Thewlis (Michael Aris) serta kedua-dua anak lelaki mereka, Alexander (Jonathan Woodhouse) dan Kim (Jonathan Ragget) yang sanggup mengorbankan kebahagiaan mereka demi pergerakan demokrasi yang diperjuangkan.

Suu Kyi merupakan anak ketiga dan satu-satunya anak perempuan kepada Aung San yang dianggap sebagai bapa pemodenan Burma (sebelum dikenali sebagai Myanmar) telah dikenakan tahanan rumah selama 15 tahun bermula 20 Julai 1989 sehinggalah dibebaskan pada 13 Nov 2010.

Sumber : Bernama

Leave a Reply