News_archive

Perdana Menteri Dijadual Sertai Program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012

By Wednesday January 25th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyertai program perbarisan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 yang berkonsepkan 1Malaysia di Dataran Merdeka Sabtu ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata program, yang bermula pukul 7.30 pagi, akan disertai warga Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada penjawat awam dan swasta.

“Selepas menyertai perbarisan, Perdana Menteri akan beredar ke laluan pejalan kaki yang baru siap pembinaannya di kawasan berhampiran untuk berjalan kaki bersama warga Wilayah Persekutuan selama kira-kira setengah jam,” katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam program ‘Ala-Carte Pagi’ Bernama Radio 24, di Wisma Bernama, di sini, pada Khamis.

Raja Nong Chik berkata Festival Hari Wilayah adakan diadakan pada Ahad di tempat sama dengan pengisian program adalah pertunjukan kebudayaan, sukan rakyat dan pameran.

“Pada 1 Feb bertempat di Istana Melawati, Putrajaya, akan diadakan istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran bagi Wilayah Persekutuan manakala bagi Labuan pula sambutan akan diadakan pada 11 dan 12 Feb dengan pelancaran Karnival Sukan Rakyat.

“Di Putrajaya, Karnival Wau akan dijalankan pada 24 sehingga 26 Feb di pesisiran Tasik Presint 2 dan acara penutup akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Raja Nong Chik berkata setiap wilayah turut menjalankan pelbagai aktiviti menarik bagi seluruh warganya sekitar bulan Februari.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun dan ini merupakan sambutan tahun ke-38 dengan tema kali ini “Rakyat Bersatu Wilayah Persekutuan Maju”.

Mengulas mengenai kejadian ribut yang mengakibatkan bumbung 12 unit rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka di Lembah Pantai diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam, beliau berkata usaha membantu mangsa terlibat akan dijalankan.

“Kerosakan begitu besar… PPR Seri Cempaka dijangkakan memerlukan antara RM500,000 hingga RM1 juta untuk kos pembaikan selain lebih kurang 12 buah rumah flat rosak sepenuhnya.

“Saya telah umumkan jika ada mana-mana mereka yang terlibat dengan kerosakan akibat ribut semalam boleh membuat tuntutan insurans kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) khususnya untuk kereta, gerai dan juga beberapa tuntutan lain selepas membuat laporan polis,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply