News_archive

Perdana Menteri Berlepas Pulang Dari Arab Saudi

By Wednesday November 9th, 2011 No Comments

JEDDAH, 9 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rombongannya berlepas dari Arab Saudi untuk kembali ke tanah air awal Rabu.

Pesawat yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta rombongan itu berlepas dari terminal Royal Pavilion Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di sini kira-kira pukul 1 pagi (6 pagi waktu Malaysia).

Antara yang berada di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Gabenor Wilayah Mekah Dr Abdulaziz Al Khedheiri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Prof Datuk Syed Omar Al-Saggaf, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Mohd Khalid Abdul Razak serta beberapa barisan pemimpin Lembaga Tabung Haji.

Najib bersama rombongan beliau, yang antara anggotanya termasuk bondanya, Tun Rahah Mohamad Noah serta adiknya, Datuk Mohamed Nazim dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, tiba di Arab Saudi pada 31 Okt lepas untuk menunaikan ibadah haji.

Rabu lepas, Najib dan Rosmah sempat meluangkan masa mengunjungi ibu pejabat Tabung Haji di bangunan hotel Abraj Al Janadiriah di sini, dan beramah mesra dengan para jemaah haji Malaysia yang menginap di hotel berkenaan.

Isnin lepas, Najib bersama pemimpin Islam lain yang berada di tanah suci untuk mengerjakan ibadah haji, diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi Putera Mahkota Naif Abdul Aziz.

Sumber : Bernama

Leave a Reply