News_archive

Perdana Menteri Berlepas Ke Perth Hadiri CHOGM

By Wednesday October 26th, 2011 No Comments

SHAH ALAM, 26 Okt (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Perth, Australia pada Rabu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Perdana Menteri yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang dekat sini pada 5 petang.

Antara yang hadir mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M.Kayveas.

Najib, yang dijangka tiba di Perth Rabu malam, akan menghadiri lima mesyuarat dua hala selain menghadiri Forum Perniagaan Komanwel (CBF) pada Khamis dan tiga sesi pertemuan santai pada Sabtu dan Ahad.

CHOGM, yang diadakan setiap dua tahun, menghimpunkan pemimpin dari negara anggota Komanwel bagi membincangkan isu berkaitan politik, krisis kewangan global, pembasmian kemiskinan, perubahan iklim, pembangunan mampan dan perkara lain.

Mesyuarat yang bertema ‘Membangunkan Ketahanan Nasional, Membina Ketahanan Global’ itu berlangsung empat hari mulai Khamis (27 Okt).

Sumber : Bernama

Leave a Reply