News_archive

Perdana Menteri Akan Rasmi Konvensyen BN Selangor Sabtu Ini

By Thursday September 15th, 2011 No Comments

SHAH ALAM, 15 Sept (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor dan beramah mesra bersama rakyat di Rumah Terbuka Aidil Fitri 1Malaysia BN di sini Sabtu ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed memberitahu sidang akhbar Khamis Perdana Menteri juga dijadual melancarkan Klinik Bergerak 1Malaysia pada konvensyen itu, yang akan dikendalikan Puteri Umno Selangor.

Beliau berkata konvensyen di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen U1 itu akan bermula 8 pagi dan dijangka dihadiri 3,000 peserta termasuk Anggota Jawatankuasa BN Selangor, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia dan badan bukan kerajaan proBN.

Katanya, konvensyen itu diadakan bagi memperkasakan BN dalam mencapai impian merampas kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat, dan upacara pembukaan serta sesi soal jawab adalah terbuka kepada liputan media, namun forum dan ucapan pengerusi parti komponen adalah tertutup.

Mohd Zin berkata selepas konvensyen itu selesai, Perdana Menteri dijadual tiba di i-City Seksyen 7 pada 5 petang untuk menghadiri rumah terbuka yang berlangsung dari 4 petang hingga 10 malam.

Sumber : Bernama

Leave a Reply