News_archive

Perdana Menteri Akan Lancar Iktiraf Ahad Depan

By Wednesday March 28th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) — Karnival Ikatan Hati Warga Felda Kebangsaan (Iktiraf) 2011/2012 di Dataran Merdeka akan diadakan selama tiga hari mulai Jumaat ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Karnival yang bertemakan “Menjunjung Transformasi Negara” itu bertujuan menghimpunkan serta membentuk jalinan kerjasama di kalangan warga Felda khasnya yang tinggal di dalam dan di luar rancangan Felda.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan karnival pada Ahad, katanya pada sidang berita di sini, hari ini.

Ahmad berkata karnival itu merupakan kemuncak kepada keseluruhan pelaksanaan program serta aktiviti Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan pengisian program Majlis Anugerah Belia Felda Malaysia kali keenam, Perhimpunan Kompang Berirama ‘Malaysian Book of Records’, Pesta Sukan dan kebudayaan serta aktiviti pameran dan jualan.

Sebanyak 19 kategori anugerah diadakan termasuk anugerah persatuan, individu, Tokoh Generasi Baru Felda dan Anugerah Khas Belia Felda Malaysia.

“Pemenang kategori persatuan bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000, piala, sijil serta pakej lawatan ke Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi 40 ahli jawatankuasa persatuan,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply