News_archive

Perdana Menteri Adakan Lawatan Sehari Di Selangor Ahad Ini

By Thursday February 23rd, 2012 No Comments

SHAH ALAM, 24 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja sehari di Selangor, Ahad ini sebagai tinjauan susulan ke beberapa daerah di negeri ini.

Program pertama beliau ialah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan akar umbi tempatan dan bertemu warga petani dan nelayan daerah Sabak Bernam di Padang Dewan Sepak Takraw Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.

Kordinator Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata Najib dijadual menyampaikan bantuan sara hidup untuk warga petani dan nelayan di sana sebelum singgah sebentar bagi meninjau keadaan Balai Polis Sungai Besar.

Perdana Menteri kemudian akan menyertai jamuan makan tengah hari bersama masyarakat Sekinchan di SRJK (C) Yoke Kuan serta melakukan upacara pecah tanah tambahan 18 bilik darjah bernilai RM1.5 juta di sekolah itu.

“Beliau akan menyerahkan kunci Rumah Bantuan Khas kepada seorang penduduk di kawasan berhampiran, Sia How Lian yang tinggal di Lorong B Side B, Sekinchan,” katanya kepada Bernama Jumaat.

Mohd Zin berkata Najib dijadual menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Kampung Kuantan, Kuala Selangor serta beramah mesra dengan imam, nazir, anggota jawatankuasa surau dan masjid dari sekitar kawasan Kuala Selangor.

Perdana Menteri juga akan meluangkan masa mengunjungi seorang penduduk berdekatan di Batu 6, Kampung Asahan sambil beramah mesra dengan masyarakat setempat.

Beliau kemudian dijadualkan meninjau ‘Ekspo Pertanian Nurani Rakyat Sayangi Selangor Yakini BN’ di Terminal CIQS, Pelabuhan Klang sebelum melancarkan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Selangor.

Najib akan mengakhiri lawatannya dengan menyertai kira-kira 50,000 penduduk tempatan yang meraikan Pesta Ponggal di Padang TNB Batu 9, Kapar.

Sumber : Bernama

Leave a Reply