News_archive

Perdagangan Malaysia-Korea Dijangka Berganda Dalam Tempoh Lima Tahun

By Friday December 10th, 2010 No Comments

PUTRAJAYA, 10 Dis (Bernama) — Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan dijangka meningkat berganda dalam tempoh lima tahun daripada AS$16 bilion sekarang ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedua-dua negara bersetuju menggalakkan saling melakukan pelaburan, khususnya oleh syarikat-syarikat Korea yang telah mempunyai kehadiran di Malaysia, bagi meningkatkan pelaburan semula masing-masing.

Katanya Malaysia bersedia menyokong dan menyediakan insentif kepada mereka bagi tujuan ini.

“Kita percaya bahawa hubungan dua hala kita akan menjadi lebih kukuh berikutan lawatan Presiden Republik Korea Lee Myung-bak,” katanya.

Najib berkata demikian pada sidang media bersama bersempena lawatan negara Lee Myung-bak di sini Jumaat.

“Kita telah menyaksikan lonjakan 34 peratus di segi perdagangan dua hala berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. Kita percaya matlamat untuk meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak dua kali boleh dicapai di dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Katanya kedua-dua negara juga bersetuju untuk mengkaji kemungkinan menjalin Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Korea Selatan yang berasingan bagi melengkapi FTA Asean-Korea Selatan, yang telah dijalin.

“FTA Asean-Korea Selatan telah menyediakan rangsangan kukuh bagi dilaksanakan pelaburan perdagangan antara Asean dan Korea Selatan. Kita percaya, jika dijalin FTA dua hala berasingan, ia tentunya akan meningkatkan hubungan dua hala,” katanya.

Najib berkata Malaysia dan Korea Selatan juga berminat bekerja bersama-sama bagi meneroka pasaran di negara-negara ke-tiga.

“Dengan mengambil kira kekuatan yang dimilik oleh kami, iaitu hubungan cemerlang Malaysia dengan bahagian tertentu di dunia dan Korea menawarkan teknologi, wujud banyak peluang bagi kita rebuti di pasaran seberang laut jika kita bekerjasama,” katanya.

Katanya Malaysia sangat tertarik dengan prestasi ekonomi Korea Selatan dan syarikat-syarikat Korea sejak 10 tahun lepas.

“Kami berharap boleh mempelajari daripada pengalaman Korea di segi penstrukturan semula dan melakukan pembaharuan terhadap ekonomi,” katanya.

Najib turut melahirkan rasa puas hatinya mengenai hasil mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara, sambil menyifatkanya sebagai produktif dan positif.

Sementara itu, dua memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani semasa lawatan itu.

Yang pertama ialah MoU mengenai pengawasan dan penilaian prestasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (Might) dan Institut Sains dan Teknologi Penilaian dan Perancangan Korea (KISTEP).

MoU yang lain ialah penggalakan bersama mengenai biotenaga dan biofuel di bawah skop kerja bioteknologi antara Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd dan Perbadanan Pengurusan Tenaga Korea (KEMCO).

Sumber : Bernama

Leave a Reply