News_archive

Perbincangan Dengan Najib Berhasil, Kata Setiausaha Agung OIC

By Tuesday April 28th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) — Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Profesor Ekmeleddin Ihsanoglu, yang mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, menyifatkan perjumpaan itu sebagai berjaya.

Beliau berkata pelbagai isu dibincangkan dan beliau turut memanfaatkan peluang itu untuk memberikan taklimat kepada Najib mengenai aktiviti OIC dalam isu politik, ekonomi dan peningkatan perdagangan di kalangan negara anggota OIC.

Perdagangan antara negara anggota OIC dijangka mencecah 20 peratus pada 2015 berbanding 16.67 peratus pada 2008 dan 14.5 peratus pada 2004.

“Ini merupakan perjumpaan pertama saya dengan Perdana Menteri Najib selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri. Kami berpeluang membincangkan pelbagai isu. Perbincangan kami diadakan dalam suasana santai dan ikhlas dan perbincangan ini membuahkan hasil,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata isu mengenai keadaan masyarakat Islam di Asia Tenggara dan negara bukan anggota OIC turut dibincangkan selain perkembangan di Timur Tengah, Somalia dan Afghanistan.

Ihsanoglu berkata Najib memberikan jaminan kepada beliau akan sokongan berterusan Malaysia terhadap OIC yang dianggotai 57 negara.

“Saya akui yang ia merupakan perbincangan yang amat berhasil dan berjaya dan saya kagum dengan personaliti dan aura Perdana Menteri. Saya menganggap diri saya amat bertuah kerana berpeluang berjumpa dengan beliau,” katanya.

Awal hari ini, Ihsanoglu menyampaikan ucaptama mengenai peranan OIC dalam meningkatkan kerjasama ekonomi di kalangan negara Islam pada Persidangan Antarabangsa Ekonomi Islam dan Ekonomi Negara OIC yang bermula hari ini.

Persidangan dua hari itu dianjurkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Bank Pembangunan Islam.

Sumber : Bernama

Leave a Reply