News_archive

Peranan Unik Malaysia Sebagai Penghubung Tamadun : Najib

By Tuesday June 16th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata melawat China serta menyaksikan semula sejarah silam dan kebangkitan kuasa ekonominya, mengingatkan beliau kepada satu daripada peranan unik Malaysia untuk bertindak sebagai penghubung kepada tamadun besar.

Dalam konteks ini, kata Perdana Menteri, Malaysia berada dalam kedudukan yang baik secara geografi dan ideologinya antara Timur dan Barat.

“Komposisi kepelbagaian etnik dan kepercayaan di Malaysia mewakili sebahagian besar negara-negara di dunia. Dalam ucapan terbarunya di Kaherah, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah menyentuh tentang kemajuan yang menakjubkan di Kuala Lumpur. Pada beliau tidak perlu ada tentangan dalam pembangunan dan pelestarian budaya yang berbeza.

“Kepelbagaian kita itulah yang menjadi sumber kekuatan kita, kepelbagaian kita itulah yang telah memudahkan kemajuan yang menakjubkan yang diperkatakan oleh Presiden Obama itu,” katanya dalam laman blog belkiau, 1Malaysia, di bawah tajuk “Sesudah China”.

Najib berkata sewajarnya semua pihak memikirkan bagaimana untuk meningkatkan lagi inovasi di Malaysia melalui kepelbagaian budaya di negara ini.

“Perbezaan kitalah yang sebenarnya memberikan peluang terbesar untuk masa hadapan,” katanya.

Najib juga berkata kepulangannya dari lawatan ke China baru-baru ini bukan sahaja diiringi nostalgia tetapi juga oleh perasaan yang benar-benar optimistik bagaimana hubungan ini telah berkembang serta potensi untuk menambah eratkan lagi hubungan ini.

“Dalam lawatan ini saya bukan setakat ingin menjejaki langkah ayahanda saya semata-mata. Malah saya berhasrat untuk membawa hubungan dengan China ini dari aspek perkongsian dan kerjasama ke satu tahap yang baru,” katanya.

Sebelum memulakan lawatan pertamanya ke China sebagai Perdana Menteri, Najib telah menyatakan bahawa lawatan ini mendatangkan satu nostalgia peribadi yang istimewa kepadanya kerana dilaksanakan selepas 35 tahun ayahandanya, perdana menteri kedua Tun Abdul Razak, melakukan perjalanan yang serupa untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China.

“Sudah tentu ada ketika-ketika yang menjadi emosional dan peribadi sifatnya.

Perdana Menteri Wen Jiabao telah menghadiahkan kepada saya satu foto hitam putih Allahyarham ayahanda saya, Tun Abdul Razak yang sedang menandatangani kenyataan bersama dengan Perdana Menteri China pada waktu itu, Zhau Enlai”.

“Pemberian yang amat bermakna ini memperjelaskan lagi keakraban persahabatan antara Malaysia dan China yang diasaskan daripada hubungan sejarah dan kepercayaan pada setiap peringkat. Ayahanda saya amat meyakini kepimpinan China pada ketika itu, begitu juga dengan saya sekarang ini,” katanya.

Menurut Najib, China telah menjadi rakan dagang Malaysia yang keempat terbesar dan Malaysia telah memanfaatkan masa yang panjang berbincang untuk terus mengembangkan hubungan dagang dan perniagaan yang telah menjelaskan begitu banyak pertalian sejarah dan hubungan antara Beijing dan Kuala Lumpur.

“Memandangkan kedua-dua negara kita ini telah memulakan program rangsangan ekonomi yang penting, kita juga telah membincangkan kerjasama selanjutnya berhubung usaha untuk mengeluarkan kedua-dua negara dan rantau ini daripada kegawatan ekonomi yang sedang dialami,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply