BlogFeatured Articles

Penyerahan Kunci PPA1M Larai Presint 6 Putrajaya

By Monday March 27th, 2017 No Comments

Agenda perumahan untuk rakyat amat dekat di hati saya. Sebab itulah kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti PR1MA, Rumah Mesra Rakyat, PPR dan Rumah Generasi Baru FELDA.

Pada masa sama, kerajaan juga amat prihatin dengan kebajikan serta impian para penjawat awam, terutamanya daripada golongan B40 dan M40, untuk memiliki kediaman sendiri yang luas dan selesa.

Bertolak dari situ, kerajaan telah melaksanakan inisiatif Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, atau PPA1M, dan hari ini, saya berasa berbesar hati untuk menyampaikan sendiri kunci kepada beberapa pemilik PPA1M Larai di Presint 6, Putrajaya.

Saya juga sempat melawat rumah salah seorang daripada mereka, Puan Nor Haniza binti Abu Hanit yang bekerja di Jabatan Perangkaan Malaysia, berserta suami Encik Mohamad Emran Abd Razak dan juga anak bongsu mereka daripada lima beradik, Mohd Farid Iskandar yang berumur 12 tahun.

Alhamdulillah, rumah berkeluasan 1,500 kaki persegi ini dengan 4 bilik dan 3 bilik air cukup indah, luas dan selesa untuk mereka sekeluarga, dan saya berharap mereka akan gembira tinggal di sini di dalam persekitaran hidup yang lebih berkualiti.

Projek PPA1M Larai ini mempunyai 1,680 unit kediaman dengan nilai pembangunan lebih RM422 juta, serta telah siap untuk didiami oleh para penjawat awam yang rata-ratanya daripada kumpulan gred 41 dan ke bawah.

Setiap unit rumah di sini diberi subsidi oleh kerajaan sebanyak antara RM24 ribu hingga RM38 ribu bergantung kepada saiz rumah. Dalam erti kata lain, sebagai contoh rumah yang bersaiz 1,500 kaki persegi yang dibeli pada harga RM300 ribu sebenarnya mempunyai harga pasaran RM338 ribu.

Selain daripada PPA1M Larai ini, terdapat juga dua PPA1M berdekata yang telah siap dibina dan menunggu waktu untuk diduduki yakni PPA1M Palma Precint 11 dan PPA1M Selasih Precint 17.

Sesungguhnya, subsidi PPA1M ini satu lagi bukti bahawa Kerajaan Barisan Nasional hari ini amat prihatin terhadap kebajikan para penjawat awam.

Saya berharap para penjawat awam yang akan memiliki rumah PPA1M ini, mendapat kehidupan yang selesa bersama keluarga dalam meneruskan sumbangan dan komitmen perkhidmatan yang terbaik buat rakyat.

Negaraku, PPA1M Rumahku.

Leave a Reply