News_archive

Penyenaraian Utama Akan Diteruskan Untuk Peroleh Kecairan, Kata Najib

By Wednesday May 18th, 2011 No Comments

NEW YORK, 18 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata proses penyenaraian utama yang dilakukan pada 2010, akan diteruskan tahun ini bagi memperoleh lebih banyak kecairan dalam pasaran.

Ini akan memastikan lebih banyak kecairan untuk diteroka dana asing, seperti ekuiti swasta untuk melabur di Malaysia, katanya semasa ditanya rancangan selanjutnya selepas menjayakan Invest Malaysia 2011 di Bursa Saham New York di sini Rabu .

“Hakikatnya kami sudah memulakan regim liberalisasi… kami sudah mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan supaya mengurangkan pegangan mereka.

“Hakikat bahawa kita sudah melakukan beberapa penyenaraian utama tahun lepas, dan meneruskannya tahun ini, bermakna lebih banyak kecairan untuk pengurus dana asing,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Antara penyenaraian utama di Bursa Malaysia ialah Petronas Chemicals dan Marine & Heavy Engineering Bhd, pembangun pelantar dalam Petronas, MISC Bhd.

Najib yang menyampaikan ucaptama pada acara dua hari yang dihadiri lebih 360 pelabur dan 10 syarikat terkemuka Malaysia, berkata mesej kepada sektor korporat Amerika Syarikat (US) ialah Malaysia sudah bersedia menjadi mesra perniagaan sebaik-baiknya.

“Pintu terbuka luas. Kami mempunyai badan untuk mereka hubungi, supaya kami dapat menyegerakan keputusan agar mereka dapat melabur di Malaysia,” kata Najib yang menghadiri jamuan tengah hari meja bulat VIP bersama pemimpin industri.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pelabur US telah dimaklumkan mengenai cara untuk berhubung dengan kerajaan Malaysia supaya cadangan mereka boleh ditimbang dan disegerakan.

Menurut Perdana Menteri beberapa syarikat Amerika Sayrikat sudah menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia, termasuk sebuah yang mengharapkan projek Petronas dan sebuah lagi sedang membincangkan untuk mengeluar produk terkemuka dalam negara.

Najib berkata beliau yakin selepas acara itu, profil Malaysia akan meningkat di kalangan syarikat-syarikat US untuk mengembangkan pelaburan mereka dalam negara.

Beliau juga berkata mereka juga dimaklumkan mengenai transformasi yang berlaku dan mekanisme yang disediakan kerajaan dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

Sumber : Bernama

Leave a Reply