News_archive

Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan Yg Lebih Baik Penting Bagi Kejayaan 1Malaysia

By Wednesday May 6th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) — Bagi menjayakan konsep 1Malaysia, sistem penyampaian perkhidmatan yang mempunyai ruang kaitan dengan 27 juta penduduk negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan, perlu diperbaiki terlebih dahulu bagi menggalakkan penerimaan meluas terhadap konsep itu, satu perbincangan media diberitahu.

Konsep 1Malaysia yang didokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada asasnya mengambil kira kepentingan dan aspirasi semua lapisan masyarakat dalam menggerakkan negara ke depan.

Dengan lain perkataan, ada tempat di dunia ini bagi seluruh rakyat Malaysia.

Perbincangan itu diberitahu bahawa apabila perkhidmatan penyampaian kerajaan itu lebih efisyen, ia boleh menempatkan beberapa nilai-nilai utama daripada konsep 1Malaysia — budaya kecemerlangan, meritokrasi, integriti dan kesetiaan — dan ia adalah selari dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” di bawah pentadbiran Najib.

Dan perasaan puas hati di kalangan rakyat atau sebaliknya akan menjadi kayu pengukur yang baik bagi menilai prestasi pentadbiran sekarang pada masa depan sejak perasaan tidak puas hati dengan polisi kerajaan dengan sistem penyampaian dikatakan sebagai punca utama jika dilihat kepada keputusan yang diperolehi dalam pilihan raya umum 2008.

“Saya berpendapat keseluruhan idea 1Malaysia adalah lebih kepada soal pentadbiran, pengurusan negara ini,” kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al Attas.

Katanya beliau tertarik dengan konsep 1Malaysia iaitu kesaksamaan atau meletakkan sesuatu kepada tempatnya dalam pentadbiran seperti yang diperkenalkan oleh Najib.

“Dalam kajian Islam, saya boleh katakan kita faham bahawa ia sebenarnya merujuk kepada keadilan dan oleh itu, dalam hubungan ini, kita akan berkata bahawa tiada siapa yang harus mendapat layanan utama berbanding dengan yang lain.

“Keadilan, seperti yang anda tahu, tidak berat sebelah,” kata Dr Syed Ali, yang mengetuai institut itu yang bertanggungjawab bagi meningkatkan kefahaman Islam di kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Katanya konsep kesaksamaan dalam pentadbiran akan menjamin bahawa semua sektor akan mendapat peluang yang sama berdasarkan merit tanpa mengambil kira bangsa, agama, kecenderungan politik atau kedudukan ekonomi seseorang.

“Gaya pentadbiran yang betul dan tepat ini perlu dilaksanakan dalam usaha meletakkan semua orang di tempat yang sebenarnya,” katanya apabila merujuk kepada karenah birokrasi yang telah menyekat pentadbiran dan tadbir urus yang baik,” beliau memberitahu perbincangan itu yang bertujuan bagi menjelaskan dialog mengenai konsep 1Malaysia dan memahaminya dengan lebih baik.

Dr Syed Ali berkata adalah penting bagi setiap kakitangan awam untuk memahami peranan masing-masing sebagai “pentadbir” untuk memudahkan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kakitangan awam perlu sedar bahawa apabila ia menyentuh kepelbagaian agama, budaya, pertimbangan berbilang bahasa, ia tidak berkaitan dengan soal akidah. Kerajaan tidak ada urusan dalam soal itu dan hanya dikatakan bertanggungjawab dalam soal pentadbiran,” katanya.

Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) Datuk A. Vaithilingam berkata, setiap keputusan kerajaan adalah untuk kepentingan semua kaum di negara ini, ketika menjawab soalan Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong, yang mempengerusikan perbincangan itu.

“Sebagai contoh, jika keadilan hendak dilaksanakan, keadilan mesti dilihat sebagai telah dilaksanakan. Perlu ada penjelasan bagi rakyat supaya rungutan mereka boleh didengar sebelum sebarang keputusan diambil.

“Segala dasar kerajaan perlu dapat diterima oleh semua orang,” kata Vaithilingam, yang juga Presiden Hindu Sangam Malaysia.

Pandangannya itu merujuk kepada beberapa kes perkahwinan campur yang telah menimbulkan masalah membabitkan orang Islam dan bukan Islam dan terdapat pertikaian berhubung hak penjagaan anak-anak, harta benda dan pengebumian.

Vaithilingam percaya bahawa semua masalah itu dapat diatasi melalui dialog di bawah naungan 1Malaysia, yang berdasarkan kepada usaha memperkenal nilai utama yang boleh diterima daripada soal toleransi, ramuan yang penting utama ke arah perpaduan nasional yang lebih baik.

“Dengan berbuat demikian, saya fikir kita dapat mengatasi banyak permasalahan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Najib telah berkata bahawa apa yang menjadikan Malaysia unik adalah kepelbagaian rakyatnya.

“Matlamat 1Malaysia adalah bagi memelihara dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang sentiasa menjadi teras kekuatan kita dan terus kekal sebagai harapan terbaik kita pada masa depan,” katanya.

Dalam ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 3 April, Najib berkata pentadbiran beliau akan memberi keutamaan kepada pencapaian dan kebajikan rakyat tanpa mengenepikan mana-mana pihak.

“Kita akan rapatkan hubungan rakyat dan kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik,” kata perdana menteri yang menggesa rakyat supaya keluar dari “kepompong etnik” bagi menjayakan 1Malaysia.

Dr Syed Ali dan Vaithilingam bersetuju bahawa penekanan perlu diberi dalam soal pendidikan di mana akhirnya ia dapat menggarap budaya kecemerlangan di kalangan rakyat Malaysia.

Bukan setakat pendidikan yang memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik tetapi juga nilai-nilai moral seperti saling hormat menghormati, integriti dan kepercayaan bagi menjamin survival negara.

Sementara Najib mengakui bahawa pendidikan dan ilmu pengetahuan adalah prasyarat penting bagi kejayaan sesebuah negara, beliau juga menekankan bahawa pendidikan perlu dilihat secara holistik di mana ia dapat disepadukan sama dengan nilai-nilai. “Kita perlu ada sebuah masyarakat yang meletakkan pendidikan dan ilmu pengetahuan di tempat paling atas bagi segala-galanya,” katanya.

Pendidikan, yang merupakan asas penting bagi semua perkara, bagi merungkai titik halangan persefahaman yang telah mengekang rakyat Malaysia untuk maju ke depan secara serentak.

Dan pendidikan adalah kunci utama yang memberi kesan ke atas budaya kecemerlangan, integriti, ketabahan, sifat merendah diri, penerimaan, meritokrasi, kesetiaan dan integriti bagi menjayakan 1Malaysia.

Seperti yang dikatakan Najib, satu tenaga baru dan optimistik telah kelihatan. Dan dialog berterusan di kalangan rakyat Malaysia merupakan usaha untuk maju ke depan bagi membolehkan 1Malaysia mengumpul momentum yang lebih besar.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply