PENUTUP 220. Sesungguhnya, bajet ini merupakan dokumen pasca pilihanraya…

By Friday October 25th, 2013 No Comments

PENUTUP

220. Sesungguhnya, bajet ini merupakan dokumen pasca pilihanraya sebagai antara prakarsa penting memenuhi akujanji yang kita ikrarkan semasa pilihanraya baru-baru ini. Usaha kita tidak terhenti setakat ini. Bahkan inilah kesinambungan kepada sebuah perjalanan Barisan Nasional agar terus berkobar dan bersemangat dengan api perjuangan yang marak lagi menyala, menerajui negara untuk tempoh 50 tahun akan datang.

221. Tapi biasalah, bak kata orang Pekan, “maaf bercakap, nak buat macam mane, sabor jerlah”. Apa pun kebaikan yang kita perbuat, apa pun amal kebaikan yang kita lakukan, ada saja yang tidak kena, ada saja yang tidak betul di mata kawan-kawan di seberang sana.
222. Namun biarlah, kata orang, kebenaran depan mata kadang-kadang kita tak nampak. Yang batil itu akhirnya akan terpasung jua.

223. Sedangkan, orang jauh, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry yang datang baru-baru ini pun telah mengiktiraf kita sebagai negara model kepada dunia, dalam kepelbagaian kemajuan, ekonomi dan manusia. Hatta Presiden China, Xi Jinping juga telah memuji Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai. Kita juga rasa tersentuh pabila Presiden China turut mengungkapkan pengertian peribahasa Melayu, ‘air dicincang takkan putus’, bahawa, Malaysialah sahabat negara China yang sejati, ketika susah dan senang.

224. Satu demi satu tohmah dilontar, beraneka domba dituduh kepada kita. Namun, kita bukanlah barisan yang mudah mengaku kalah, apatah lagi tidak mungkin duduk bersimpuh dan berdiam diri. Barisan Nasional mengambil resminya padi, makin merunduk makin berisi. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, dari masa hingga masa, kita terus bangun, bangkit dan berjuang demi rakyat, demi negara.

225. Dalam pada itu, diakui adat dan resam manusiawi, selama berpuluh tahun, Kerajaan Transformatif Barisan Nasional mentadbir, tentulah ada salah dan khilaf di sana-sini. Namun, mendahulukan kepentingan rakyat adalah segala-galanya buat kita. Dengan adanya sokongan dan dokongan rakyat pabila dirundingi, ternyata kelemahan-kelemahan terus kita perbaiki dan usaha dapat dimantapkan.

226. Sekaligus, segala penat lelah, letih lesu yang digemblengkan terasa hilang dan terasa lega, tatkala rakyat teramai dapat mengecapi nikmat kejayaan negara. Bak kata orang Iban di Sarawak, “Utai Besai Gaga’miet”, jika kita bersatu, berganding-ganding antara Kerajaan dan rakyat, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.
227. Apa yang pasti, kita tidak sekali-kali akan membiar dan merelakan orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil alih Kerajaan ini. Demi rakyat dan demi tanahair tercinta, Putrajaya, tetap akan kita pertahankan sampai bila-bila.

228. Jelasnya, bajet ini ialah dokumen berevolusi yang dipersembahkan untuk tahun 2014, merupakan siri-siri bajet yang akan membawa Malaysia bertatih, menapak dan akhirnya kini berlari-lari anak, melayari bahtera ke mercu jaya dan kompetitif di persada antarabangsa. Insya Allah, kita akan membentangkan enam lagi bajet, sebelum negara ini dijulang menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, pabila menyinsingnya fajar 2020, kira-kira tujuh tahun lagi.

229. Demi kepentingan rakyat, moga-moga bajet kali ini juga, menjadi bajet yang disirami dan dilimpahi barakah yang tidak terhitung-hitung jumlahnya.

230. Akhir kalam, dalam segala kudrat manusia, kita telah berusaha sehabis baik. Kepada Allah kita membuat segala penyerahan dan mengembalikan segala urusan.

Moga-moga Tuhan Yang Maha Berkuasa memberi selamat dan sejahtera kepada Malaysia, zahir dan batin.

#Bajet2014



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10151676064210952/

Leave a Reply