News_archive

Penurunan Tol 50 Peratus Di Lebuhraya Cheras-Kajang Kurangkan Beban Rakyat

By Friday March 2nd, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) — Penurunan kadar tol sebanyak 50 peratus di Lebuhraya Cheras-Kajang mulai tengah malam tadi, nyata membantu mengurangkan beban rakyat yang saban hari menggunakan laluan itu.

Pemansuhan bayaran tol RM1 menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu 9 dan bayaran 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala ke Kajang itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati pengurangan tol daripada RM3.80 kepada RM1.90 untuk dua hala itu disambut baik oleh pengguna lebuh raya terutama penduduk yang menetap di kawasan sekitar.

Seorang penjawat awam yang tinggal di Bandar Mahkota Cheras, Zahara Mutalib, 50, berkata beliau perlu melalui kedua-dua tol itu setiap kali untuk ke tempat kerja dan pemansuhan separuh kadar tol itu dapat mengurangkan beban kewangannya.

Beliau berkata pemansuhan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi semasa.

Seorang suri rumah yang menetap di Bandar Tun Hussein Onn, Norliza Hashim, 46, turut menyambut baik langkah kerajaan memansuhkan tol berkenaan berikutan jarak antara Plaza Tol Batu 9 dan Plaza Tol Batu 11 adalah dekat.

“Sebelum pemansuhan tol itu, kebanyakan pemandu terpaksa mencari jalan alternatif untuk mengelak tol,” katanya.

Beliau berasa amat bersyukur dengan penurunan kadar tol itu kerana ia amat membantu berikutan majoriti anggota keluarganya turut memiliki kenderaan sendiri.

Pekerja swasta C.Ravi, 43, pula berkata pengurangan kadar tol itu dapat mengurangkan beban perbelanjaan bulanannya.

“Dalam sehari, saya akan menggunakan laluan ini lebih daripada tujuh kali dan berbelanja lebih RM250 sebulan atas urusan kerja,” katanya.

Beliau berkata pemansuhan itu juga banyak membantu dirinya sebagai pekerja swasta yang tidak dibayar elaun pengangkutan.

Sementara itu Kelab Umno Pesara (Kumpulan Pelaksana) Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) dalam satu kenyataan hari ini berkata pengurangan tol itu melegakan bebanan para pesara yang menetap di sekitar Kajang, Semenyih, Pajam, Mantin dan Hulu Langat yang sering menggunakan lebuh raya itu untuk ke Kuala Lumpur.

Setiausaha Kehormat KUPEKMAS Datuk Abdul Rahman Manan berkata langkah itu menunjukkan kerajaan komited dalam menjaga kepentingan serta kebajikan pesara-pesara dan keluarga mereka.

Sumber : Bernama

Leave a Reply