News_archive

Penting Negara Ditadbir BN Di Bawah Najib – Taib Mahmud

By Thursday April 26th, 2012 No Comments

SIBU, 26 April (Bernama) — Rakyat Sarawak diingatkan betapa pentingnya negara ini terus ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata ia kerana Najib mempunyai impian tinggi untuk negara.

“Beliau bekerja kuat dalam menunaikan tanggungjawab memajukan negara dari satu rancangan pembangunan ke satu rancangan pembangunan yang lain dan mempunyai pasukan yang hebat untuk berbuat demikian.

“Beliau juga mahu Malaysia mempunyai rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” katanya dalam majlis makan malam di sini bagi meraikan kunjungan tiga hari Najib ke Sarawak bermula hari Khamis.

Taib berkata tidak dapat dinafikan kebanyakan rakyat di Sarawak juga mahu Najib terus memimpin negara selepas pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata Sarawak yang akan bergantung kepada koridor pembangunan wilayahnya SCORE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak) bagi mencapai kedua-dua impian tersebut memerlukan pimpinan Najib berterusan.

“Kita memerlukan bantuan persekutuan untuk membangunkan infrastruktur fizikal di SCORE selain memerlukan tenaga kerja teknikal yang mencukupi untuk mengurusnya.

“Kita jangka untuk melihat ini di bawah kepimpinan beliau (Najib),” katanya.

Taib berkata walaupun BN kalah pada pilihan raya kecil Sibu pada 2010, gabungan itu berjaya memperoleh semula sokongan.

“BN telah memperoleh sokongan yang lebih bear daripada rakyat yang boleh dilihat dari calon-calonya memenangi kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri Nangka dan Bawang Assan pada pilihan raya negeri yang lepas.

Beliau berharap Najib “akan menang dan bukan sekadar menang tetapi menang dengan besar untuk mencapai cita-cita beliau kepada negara.”

Di majlis itu perdana menteri kemudiannya menyerahkan surat jemputan dari Kementerian Pengajian Tinggi kepada Taib untuk Sarawak menubuhkan Kolej Universiti Teknologi.

Sumber : Bernama

Leave a Reply