News_archive

Peniaga Pasar Teratai Mewah Gembira Dapat Bertemu Perdana Menteri

By Friday January 20th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Peniaga, pengunjung dan penduduk sekitar kawasan pasar basah Teratai Mewah, Wangsa Maju di sini memberikan sambutan meriah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkunjung ke situ pagi Jumaat sempena program turun padang oleh Perdana Menteri ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mereka dilihat tidak sabar-sabar menunggu ketibaan Perdana Menteri dan sebahagian daripada mereka telahpun menunggu di situ seawal 8 pagi.

Sebaik tiba pada 9.20 pagi, Najib diberi sambutan tarian singa oleh penduduk dalam cuaca hujan renyai-renyai.

Peniaga kuih, Lim Siew Kuan, 40, nyata sangat gembira dapat berjabat salam dengan Perdana Menteri dan berkata ia satu pengalaman yang tidak dapat beliau lupakan seumur hidupnya.

“Pertama kali saya dapat bersemuka dengan Perdana Menteri dan lebih membanggakan dapat berjabat salam dengan beliau,” katanya kepada Bernama.

Lim berkata Perdana Menteri telah menunjukkan contoh yang baik kerana walaupun keadaan pasar sesak dengan orang ramai dan lecak kerana hujan, beliau sanggup turun untuk bertemu rakyat.

Perdana Menteri pula dilihat sentiasa mengukir senyuman ketika berjabat salam dengan pelbagai lapisan masyarakat di situ.

Peniaga baju, Wong Yoke Ying, 47, berharap Najib akan datang lagi melawat kawasan itu pada masa akan datang.

“Saya faham dengan jadual kerja beliau yang sangat padat, kunjungan beliau kali ini sangat bermakna dan diharap pada masa akan datang akan kembali melawat kawasan ini,” katanya.

Najib turut tersenyum tatkala melihat gelagat seorang peniaga yang tidak henti-henti melaungkan “1Malaysia” sebaik melihat kehadiran beliau di pasar itu.

Lim Poh Yee, 42, peniaga sayur di pasar tersebut berulang-kali melaungkan “1Malaysia”, berkata kepada Bernama beliau sangat menyukai konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri itu.

“Saya rasa sangat bersemangat bila melaungkan “1Malaysia”, yang lebih buat saya teruja ialah kerana dapat laungkannya di depan Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Dalam kunjungan hampir 15 minit itu, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman dengan hampir semua peniaga pasar, pengunjung pasar serta masyarakat sekitar.

Antara yang mengiringi beliau ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, timbalannya Datuk M. Saravanan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Anggota Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

Sumber : Bernama

Leave a Reply