News_archive

Peniaga Pasar Tani Matang Tidak Sabar Tunggu Kedatangan Najib

By Friday April 27th, 2012 No Comments

KUCHING, 27 April (Bernama) — Sejak tersebar berita Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melawat Pasar Tani Matang di sini, Rosmah Abdullah bagai tidak sabar untuk menyambut kedatangan pemimpin nombor satu negara itu.

Rosmah, 47, yang menjual sayur-sayuran di pasar itu sejak lebih 20 tahun, juga berharap dapat bersua muka secara dekat dengan Najib.

“Mendengar dia (Najib) akan datang ke sini, saya begitu teruja. Kalau diberi peluang sedikit untuk berjumpa beliau nanti, dapatlah saya ceritakan sedikit sebanyak tentang masalah kita di sini,” katanya kepada Bernama, di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri dijadual mengunjungi Pasar Tani Matang esok yang merupakan antara hentian beliau dalam lawatan rasmi terkini ke Sarawak.

Rosmah berkata pasar tani itu masih memerlukan kemudahan asas seperti tandas awam yang dapat memberi keselesaan kepada penjaja dan pembeli di kawasan tersebut.

Sebagai seorang peniaga kecil, Rosmah juga berharap Perdana Menteri akan mengumumkan bantuan tertentu bagi membolehkan mereka memajukan lagi perniagaan.

“Kalau boleh, kita tidak mahu menjadi penjaja kecil selama-lamanya,” katanya.

Anaknya, Mohd Firdaus Ahmad, 21, yang membantu Rosmah berniaga sejak berusia enam tahun turut berasa teruja dengan kedatangan Perdana Menteri itu.

“Tak sabar juga menanti hari esok sebab selama ini saya hanya dapat melihat wajah Perdana Menteri kita dalam television dan di dada akhbar sahaja,” katanya yang menganggap lawatan Najib sebagai perkhabaran gembira kedua baginya yang menunggu kelahiran anak pertama tidak lama lagi.

Anak muda itu juga berpendapat Najib adalah Perdana Menteri yang mempunyai banyak perancangan untuk membantu rakyat dan tinjauan mesra beliau adalah cara untuk mengetahui sendiri sejauh mana kemudahan yang disediakan kerajaan dinikmati rakyat.

Penjaja barangan runcit, Othman Saili, 48, pula berharap Najib akan dapat merasai sendiri keunikan Pasar Tani Matang menerusi lawatan itu.

Katanya sekalipun disaingi pasar raya yang semakin bertambah di kawasan itu, Pasar Tani Matang masih menerima kunjungan pelanggan.

“Di sini kita ada pelanggan-pelanggan tetap yang kebanyakannya penduduk di kawasan perumahan di Matang ini. Yang kita harapkan semakin banyak kawasan perumahan diwujudkan, semakin ramailah pelanggan kita,” katanya.

Bagi peniaga ikan dan ayam, Mazlan Minan, 42, beliau berharap Najib dapat menyaksikan sendiri kesungguhan peniaga bumiputera di pasar itu.

“Kami berniaga setiap hari kecuali pada hari raya. Sama ada pelanggan datang sedikit atau ramai, kita tetap berniaga di sini,” katanya.

Mazlan juga berharap Perdana Menteri akan dapat membantu dalam mewujudkan pasar tani tetap di kawasan itu, memandangkan pada masa ini gerai-gerai di pasar tersebut tidak seragam.

“Kita harap dengan lawatan beliau esok, dapatlah beliau bantu kita sedikit-sebanyak,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply