News_archive

Pengukuhan Perpaduan Kebangsaan Tanggungjawab Bersama, Kata Najib

By Saturday May 9th, 2009 No Comments

BANTING, 9 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengukuhan perpaduan kebangsaan bukan tugas kerajaan semata-mata tetapi terletak juga pada bahu individu di dalam masyarakat Malaysia.

Beliau berkata individu boleh menyumbang kepada pengukuhan perpaduan dengan mengambil berat rakan mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Individu boleh mengukuhkan perpaduan dalam kehidupan harian mereka dengan hanya melakukan perkara mudah seperti membuat panggilan mesra telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menghulurkan bantuan, katanya.

Masyarakat perlu membantu mangsa kemalangan tanpa perlu bertanya sama ada mereka daripada kaum Cina, Melayu atau India kerana mereka yang terlibat dalam kemalangan itu adalah rakyat Malaysia yang memerlukan pertolongan, katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wesak 2009 di Kuil Fo Guang Shan Dong Zen di Jenjarom dekat sini hari ini.

Najib berkata seorang rakyat Malaysia perlu membantu rakyat Malaysia yang lain dalam kemalangan atau kesusahan tanpa mengira bangsa dan agama dan semangat seperti itu perlu bagi menjadikan Malaysia lebih kuat dan berdaya tahan.

Beliau berkata:”Kita mesti menjadikan Malaysia kuat dan berdaya tahan bukan sahaja dalam soal ekonomi kerana kita sedang berdepan dengan krisis global tetapi kita juga mahu menjadikan Malaysia lebih kuat dan berdaya tahan dari segi politik, sosial dan ekonomi.”

“Dengan ini, Malaysia akan menjadi negara yang benar-benar berjaya, sebuah negara pada abad 21 yang mampu menempatkan dirinya di tempat yang sewajarnya di kalangan negara-negara yang benar-benar telah menempa kejayaan,” katanya.

Najib berkata inilah harapan beliau semasa datang ke kuil itu di tengah-tengah penempatan masyarakat Buddha yang terkenal di negara ini dan ini juga menunjukkan dengan jelas bagaimana rakyat Malaysia boleh bersama dan bersatu padu di bawah konsep 1Malaysia dimana rakyatnya sama-sama berkongsi impian yang sama.

Najib juga berkata dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, rakyat perlu melihat kepada persamaan di antara nilai kebudayaan dan ajaran agama-agama.

Beliau berkata terdapat persamaan mengenai nilai-nilai murni di dalam ajaran Islam dan Buddha seperti sikap merendah diri dalam ajaran Buddha dengan sikap “tawadduk” di dalam Islam.

Oleh itu, Najib berkata:”Kalau kita lihat persamaan lebih daripada perbezaannya maka kita akan menjadi mereka yang boleh dijadikan sebahagian daripada penyelesaian (dan) jika kita sentiasa menumpu kepada perbezaan kita akan jadi sebahagian daripada masalah.”

Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukannya sebahagian daripada masalah.

“Inilah cara kita ke hadapan sesuai dengan konsep 1Malaysia yang saya telah tonjolkan sejak mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Najib juga berkata beliau tertarik dengan isi ucapan Ketua Sami Kuil itu, Jue Cheng pada majlis itu yang menggunakan perkataan “negara ibunda” sebagai satu ganti nama bagi Malaysia yang menyentuh perasaan mereka yang hadir pada majlis itu.

“Yang dihormati Jue Cheng menggunakan perkataan negara ibunda atau motherland, ini perkataan yang amat menyentuh perasaan kita semua yakni apabila mereka yang menganuti agama seperti agama Buddha menganggap negara Malaysia sebagai negara ibunda mereka,” katanya.

Najib berkata:”Inilah negara tumpah darah mereka dan sekaligus apabila mereka menggunakan negara ibunda maka mereka menggambarkan bahawa mereka juga merupakan warganegara yang taat setia dan kasih serta patriotik kepada negara ibunda mereka iaitu negara Malaysia yang tercinta.”

Katanya beliau bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor hari ini bersama-sama penganut-penganut Buddha hadir pada acara sambutan Hari Wesak dan menjadi harapannya tradisi seperti ini akan dapat diteruskan.

Kejayaan menguruskan kepelbagaian daripada segi kaum, agama dan budaya merupakan kunci kejayaan Malaysia selama ini dan jika kepelbagaian kaum di negara ini gagal diuruskan, negara mungkin terjerumus kepada keadaan yang tidak stabil dan detik hitam yang tidak diingini dahulu mungkin berulang kembali, katanya.

Beliau juga mengambil kesempatan pada majlis itu untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada rakyat Malaysia yang akan disambut esok dan juga Hari UMNO pada 11 Mei ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply