News_archive

Pengubahsuaian HKL Dijangka Siap 24 Bulan

By Wednesday October 19th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) — Projek menambah baik kemudahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) seperti yang diumum kerajaan dalam Belanjawan 2012 dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 24 bulan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan berkata apabila siap kelak ia akan dapat memberi satu imej baru kepada HKL.

Projek itu diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan Negara di Dewan Rakyat 7 Okt lepas yang memperuntukkan RM300 juta untuk pengubahsuaian HKL daripada segi struktur, kemudahan dan keperluan asas.

“Kerajaan buat keputusan untuk membuat satu perubahan baru termasuklah meminta peniaga-peniaga, medan selera dan rumah-rumah ibadat di sekitar kawasan hospital harus dikemaskini supaya selari dengan pembangunan yang akan dilakukan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan amal kepada pesakit hospital di Jabatan Urologi dan Nefrologi HKL di sini Rabu.

Beliau menyampaikan sumbangan berbentuk hamper seperti barang keperluan harian dan wang tunai berjumlah RM20 seorang kepada 100 pesakit di HKL sempena sambutan perayaan Deepavali.

Sumber : Bernama

Leave a Reply