BlogFeatured Articles

Pengorbanan dan Kejayaan

By Saturday September 2nd, 2017 No Comments

Alhamdulillah, minggu yang baru berlalu ini, kita rakyat Malaysia telah meraikan 3 kegembiraan berbeza, berturut-turut.

Kegembiraan pertama adalah apabila kita bukan sahaja dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi edisi ke-29 Sukan SEA dengan pencapaian pungutan emas melangkaui sasaran, bahkan kita juga telah berjaya menganjurkan dan menjadi tuan rumah kepada temasya Sukan SEA yang cukup hebat, terutamanya upacara pembukaan dan penutup yang pada amatan saya bertaraf dunia.

Syabas kepada semua atlet atas prestasi hebat mereka, sama ada mereka memenangi emas, perak, gangsa ataupun tidak, kesemua mereka layak dijulang dan diraikan atas komitmen dan semangat #BangkitBersama yang ditunjukkan. Insya-Allah, saya yakin berdasarkan apa yang dipaparkan sepanjang temasya Sukan SEA kali ini, masa depan sukan kita akan cemerlang!

Tahniah juga kepada Kementerian Belia dan Sukan, kementerian-kementerian berkaitan dan semua yang terlibat dalam menjayakan Sukan SEA kali ini. Penghargaan istimewa juga harus diberikan kepada para sukarelawan serta penyokong yang berhujan panas, menang mahupun kalah tetap setia memberi bantuan dan sokongan.

Sejurus selepas kemuncak Sukan SEA, kita menyambut kegembiraan kedua, yakni meraikan detik kemerdekaan ke 60 tahun negara dengan sambutan di Dataran Merdeka yang mengimbau kembali detik bersejarah 1957, lengkap dengan perarakan dan persembahan seperti kita berada di Stadium Merdeka saat pertama laungan “Merdeka!” bergema di bumi Malaysia ini.

Lebih manis lagi, dua insan yang menaikkan Jalur Gemilang buat pertama kalinya pada 31 Ogos 1957, kita jemput kembali untuk sekali lagi menaikkan bendera Malaysia, sepertimana yang saya kongsikan dalam posting saya di Facebook.

60 tahun berlalu, kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan mengecapi banyak kejayaan, kesemuanya berjaya kita harungi dan nikmati kerana kita kekal bersatu hati seperti yang saya nukilkan dalam Perutusan Merdeka 2017.

Seterusnya, kegembiraan ketiga buat kita adalah apabila kita menyambut Hari Raya Aidiladha, perayaan yang membawa seribu satu pengertian dan makna buat umat Islam serata dunia.

Intipati utama sambutan Aidiladha tentu sekali mengenai pengajaran di sebalik sirah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, pengorbanan mereka dan bagaimana ia kemudiannya dibalas dengan ganjaran berganda oleh Allah SWT. Anda boleh baca lebih lanjut mengenainya dalam Perutusan Aidiladha saya di sini.

Berkait dengan pengorbanan, pengertiannya mungkin berbeza dari insan ke insan. Misalnya, para atlet yang bertanding di Sukan SEA baru-baru ini, berkorban tenaga dan keringat demi menjulang nama Malaysia dalam sukan, manakala sambutan kemerdekaan ke-60 tahun negara tidak mungkin dapat kita raikan tanpa pengorbanan para perajurit dan mereka yang terdahulu daripada kita.

Hasil pengorbanan, kita berjaya mengecapi kejayaan, dalam Sukan SEA, sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermacam lagi. Pengorbanan dan kejayaan itu ibarat isi dengan kuku, ia tidak akan datang tanpa yang lagi satu.

Insya-Allah, selagi mana Malaysia terus mempunyai rakyatnya yang sanggup berkorban dari sekecil-kecil pengorbanan di peringkat peribadi hinggalah kesanggupan berkorban nyawa demi negara tercinta, saya yakin dan percaya kita akan terus berada di landasan yang tepat menuju impian Malaysia berjaya.

Inilah pengertian pengorbanan dan kejayaan yang sebenarnya.

Leave a Reply