News_archive

Penglibatan Aktif Media Sosial Faktor Tambah Bagi Calon Berpotensi BN – Najib

By Sunday April 29th, 2012 No Comments

KUCHING, 29 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penglibatan aktif pengamal media sosial dalam menarik penglibatan masyarakat setempat menerusi blog, Facebook, Twitter dan platform online yang lain boleh diambil kira sebagai satu kriteria bagi memilih calon berpotensi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri yang juga pengerusi BN itu berkata satu daripada cabaran yang dihadapi untuk melihat wakil rakyat, serta agensi kerajaan dan negeri, menjadi lebih mudah dihubungi dan responsif kepada rakyat dengan meningkatkan interakasi mereka, menerusi media sosial.

“Hakikat bahawa mereka (pengamal media sosial) terlibat, akan menambah markah yang boleh dipertimbangkan dalam senarai calon BN masa depan,” kata beliau semasa melancarkan Konvensyen Media Sosial Sarawak di sini Sabtu.

Konvensyen itu dengan tema, ‘Connect and Engage’, dihadiri oleh 500 pengamal media sosial dari seluruh negeri.

Najib memberikan respons terhadap resolusi 10 perkara yang dikemukakan oleh Persatuan Media Sosial Sarawak (SSMA) yang dikemukakan kepada beliau dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, oleh presidennya, Wan Abdillah Wan Abdul Rahman, yang memperakukan agar ia menjadikan satu daripada kriteria bagi seseorang itu dicalonkan untuk pilihan raya.

Menyifatakan diri beliau sebagai generasi peralihan antara “generasi X dan Y” ketika merujuk kepada komen Abdul Taib sebelum itu bahawa beliau adalah seorang ‘perdana menteri moden’, Najib berkata terdapat banyak peluang bagi kerajaan menjelaskan apa yang ia telah, sedang dan akan buat.

“Dengan erti kata mudah, bila rakyat bertindak secara online, jadi kita juga mesti online. Di mana kita biasanya mengirim surat, sekarang kita mengirim e-mel.

“Di mana kita biasanya mengadakan debat awam, sekarang kita mesti berdebat antara satu sama lain di blog dan media sosial.

“Dan di mana kita biasanya menjelaskan kepercayaan kita menerusi risalah dan poster, sekarang kita mesti gunakan laman web, video dan gambar,” kata Najib.

Najib, yang sentiasa menggunakan blog, Facebook, Twitter dan platform online lain sepanjang tempoh beliau menjadi perdana menteri, berkata beliau telah juga memberitahu semua kementerian agar memperhebat penglibatan rakyat dalam penggunaan media sosial.

“Dalam masa dua minggu ini, saya dijadualkan menemui beberapa rakan online saya, termasuk pengikut Twitter saya yang ke 500,000 sebagaimana telah saya nyatakan menerusi Twitter,” kata beliau.

Beliau berkata ini adalah bahagian penting tugas beliau kerana beliau dapat merasakan secara langsung sentimen rakyat.

Najib berkata kini terdapat lebih 12 juta akaun Facebook dalam negara dan beliau berhasrat melihat semua pengamal media sosial, terutama di Sarawak, menghebahkan apa yang kerajaan sedang lakukan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply