News_archive

Pengecualian Cukai Bagi Hospital Swasta Yang Jadi Destinasi Pelancongan Perubatan

By Friday May 6th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) — Kerajaan akan memberikan pengecualian cukai kepada hospital-hospital swasta yang menjadikan institusinya sebagai sebuah destinasi pelancongan perubatan.

Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata bagi memperolehi kemudahan itu, hospital berkenaan perlu membaiki kualiti perkhidmatan terutama dari segi keselesaan serta ruang, dan juga kualiti tenaga kerja.

Beliau berkata pengecualian juga diberikan kepada hospital-hospital yang diiktiraf oleh Joint Commission International (JCI), berdasarkan kepada kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit.

“Pengecualian ini dibentangkan dalam bajet 2010 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan kami sedang berunding dengan Kementerian Kewangan untuk mewartakan kemudahan berkaitan cukai ini, dan selepas itu semua hospital yang diiktiraf boleh menuntut pengecualian cukai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Perubatan HSC di Menara HSC di sini.

Liow berkata setakat ini Malaysia memiliki lapan hospital yang diiktiraf oleh JCI, sebagai tambahan kepada 41 hospital swasta yang didaftar di bawah MHTC, yang dikategorikan sebagai antara hospital terbaik dalam negara.

Beliau berkata inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menaik taraf destinasi pelancongan perubatan dalam negara dengan pantas, bagi membaiki ekonomi di sektor pelancongan.

Katanya kerajaan komited dan serius dalam memperkenal Malaysia sebagai sebuah negara pelancongan rawatan perubatan dengan sasaran menarik kunjungan lebih 1.9 juta pelancong sektor itu menjelang tahun 2020.

“Kira-kira 400,000 pelancong sektor perubatan mengunjungi negara di tahun-tahun kebelakangan ini, dan saya beri komitmen kepada Perdana Menteri bahawa tahun ini jumlahnya akan ditingkatkan 10 peratus,” katanya.

Dari segi hasil pula Liow berkata negara memperolehi RM380 juta menerusi sektor tersebut di tahun-tahun sebelum ini, dan jumlahnya tahun ini dijangka meningkat kepada RM431.

Beliau berkata selaras dengan inspirasi kerajaan mempromosi pelancongan perubatan, kerajaan turut melonggarkan peraturan dan garis panduan pengiklanan sedia ada, khusus untuk memberi kemudahan kepada perubahan peranan hospital-hospital swasta, dalam mempromosi pelancongan perubatan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply