News_archive

Penetapan Gaji Minima Pekerja Swasta Pemangkin Kepada Peningkatan Produktiviti

By Tuesday May 1st, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) — Penetapan kadar gaji minimum untuk sektor swasta mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan produktivi dan melonjakkan perniagaan bagi pihak swasta, kata seorang pakar ekonomi.

Prof Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata majikan tidak seharusnya melihatnya sebagai beban, sebaliknya ia mampu meningkatkan pendapatan bagi menampung kenaikan kos operasi syarikat.

“Di Korea misalnya, gaji minimum ini dapat dilihat sebagai satu cara untuk pastikan sektor swasta bergerak lebih cepat daripada apa yang ditetapkan,” kata Barjoyai yang juga Pengarah Pusat Pengajian Siswazah Unitar kepada Bernama di sini hari ini.

Barjoyai, yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang percukaian dan Sarjana dalam Pentabiran Industri berkata kadar gaji minimum juga dapat membantu negara mencapai status negara berpendapatan tinggi kerana ia akan meningkatkan kuasa beli pengguna.

Beliau berkata walaupun kadar RM900 yang ditetapkan untuk Semenanjung, dan RM800 untuk Sabah, Sarawak serta Labuan agak rendah, namun ia dapat memastikan setiap pekerja di negara ini mendapat gaji yang tinggi berbanding sebelumnya.

“Hari ini, lebih 30 peratus penduduk Malaysia mendapat gaji kurang RM300 sebulan, dan dengan adanya kadar gaji minimum yang ditetapkan maka ia serta-merta meningkatkan gaji mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kadar gaji minima sektor swasta di mana Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

Sementara itu, Presiden Kesatuan-Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan Mohamad Shafie Mammal mahu kerajaan memastikan pelaksanaan kadar gaji minima itu dipatuhi oleh semua majikan.

Mohamad Shafie yang juga Presiden Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Pekerja Antarabangsa (UNI)- Malaysian Liasioan Council (MLC) berkata beliau bimbang kemungkinan terdapat segelintir majikan yang tidak bertanggungjawab akan menjadikan penetapan kadar gaji minimum itu sebagai alasan untuk mengurangkan pekerja.

“Kita tidak mahu ada majikan yang ambil kesempatan dengan memberhentikan pekerja kononnya untuk kurangkan kos, jadi biarlah pelaksanaan ini dibuat secara jujur,” katanya.

Sambil menyambut baik langkah kerajaan yang disifatkan sebagai langkah awal ke arah menuju negara maju menjelang tahun 2020, Mohamad Shafie turut mencadangkan supaya tangga gaji yang standard untuk pekerja sektor swasta seluruh negara diwujudkan selaras dengan slogan 1Malaysia.

Beliau berkata pengenalan dua kadar yang berbeza kurang tepat kerana kos sara hidup di Sabah, Sarawak dan Labuan juga semakin meningkat, malah terdapat beberapa harga barangan keperluan di negeri berkenaan lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

Turut menyambut baik langkah kerajaan itu ialah Kesatuan Pekerja-pekerja Proton Tanjung Malim yang menyifatkan ia sebagai perangsang kepada para pekerja untuk terus meningkatkan produktiviti masing-masing.

Presidennya Zainudin Dollah bagaimanapun berharap supaya kadar tersebut ditingkatkan sesuai dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kajian yang kita buat di Tanjung Malim menunjukkan orang bujang berbelanja RM980 sebulan, manakala yang telah berkahwin RM1,400 sebulan,” katanya.

Mengulas perkara sama ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye yang berkata pengenalan gaji minimum dapat memastikan keperluan asas pekerja dan keluarga mereka dipenuhi.

Katanya usaha kerajaan untuk mencapai negara berpendapatan tinggi tidak akan bermakna jika nasib golongan berpendapatan rendah tidak dibela.

“Dengan penetapan gaji minimum yang telah lama tertangguh ini, maka para pekerja juga harus lebih produktif dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata penetapan kadar gaji minimum merupakan satu cabaran kepada para majikan kerana kos operasi mungkin meningkat.

Beliau berkata ketika ini kebanyakan majikan di Malaysia membayar purata gaji kurang daripada apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam.

“Ia memang berbeza kerana kadar baru itu menyaksikan peningkatan kira-kira 30 peratus, malah ada yang 100 peratus terutama bagi mereka yang menerima gaji di bawah RM800 atau RM900,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply