News_archive

Pendidikan perlu sokongan

By Monday September 26th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Sektor pendidikan negara memerlukan sokongan pembiayaan daripada pelbagai pihak terutama korporat meskipun kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi tujuan pembangunannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada kerajaan yang mampu menyediakan peruntukan bagi sektor pendidikan secara bersendirian tanpa bantuan pihak lain.

“Meskipun kerajaan sudah menyediakan peruntukan yang besar (untuk pendidikan), namun keperluannya lebih besar lagi dan tidak mungkin apa yang dibelanjakan kerajaan selama ini ditakrifkan sebagai mencukupi.

“Banyak lagi peruntukan yang perlu disediakan di semua peringkat jika mahu menjadikan bidang pendidikan kita yang terbaik,” katanya ketika berucap merasmikan Dana Kebajikan Pendidikan ‘Community Chest’ di sini hari ini.

Dana tersebut dibangunkan oleh sektor korporat daripada pelbagai bidang bertujuan menyalurkan bantuan kepada sekolah vernakular termasuk menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Pada majlis sama, Najib turut menyerahkan dana daripada tabung itu kepada sebahagian daripada 61 buah sekolah vernakular yang layak membabitkan peruntukan RM26.1 juta.

Setiap sekolah menerima peruntukan RM25,000 hingga RM2.5 juta antaranya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Salak South, SJKC Kun Min, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu Caves dan SJKT Slim River.

Najib menetapkan sasaran supaya dana itu mampu menyalurkan bantuan kepada sektor pendidikan negara berjumlah RM100 juta setahun bermula tahun depan.

Untuk itu kata beliau, kerajaan akan memberi pengecualian cukai kepada sektor korporat yang sanggup mengetepikan keuntungan untuk menyumbang kepada pembangunan dana tersebut.

“Ia juga sebagai galakan kepada lebih banyak pihak untuk tampil dengan penyelesaian yang kreatif dan inovatif dalam sesuatu perkara,” kata beliau.

Sumber : Utusan

Leave a Reply