Press Statement

Penambahbaikan Laluan Kerjaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian Dan Pegawai Farmasi Di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

By Tuesday March 9th, 2010 No Comments
1.       Pengenalan
          Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada rakyat. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan terus menyediakan prasarana kesihatan yang baik serta membangunkan modal insan yang mantap.
          Pada 5 Disember 2007, Kerajaan telah bersetuju dengan pelaksanaan kenaikan pangkat secara terus ke Gred UD44 kepada semua Pegawai Perubatan yang dilantik mulai 1 Januari 2008, iaitu sebaik sahaja mereka tamat menjalani housemanship selama dua tahun dan berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia.
          Untuk memastikan Pegawai Perubatan yang dilantik sebelum 1 Januari 2008 tidak terjejas dengan keputusan tersebut, tindakan telah diambil untuk menaikkan pangkat ke Gred UD44 Pegawai-pegawai Perubatan yang dilantik sebelum 1 Januari 2008. Ini melibatkan kenaikan pangkat seramai 9,871 orang Pegawai Perubatan dalam tahun 2009.
          Di kalangan 9,871 orang Pegawai-pegawai Perubatan yang telah dinaikkan pangkat ke Gred UD44 tersebut, terdapat mereka yang telah mempunyai ijazah Sarjana mengikut bidang kepakaran masing-masing serta tempoh perkhidmatan dan pengalaman yang lama. Oleh itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melaksanakan urusan kenaikan pangkat Pegawai Perubatan Gred UD44 yang telah memenuhi syarat-syarat kenaikan pangkat yang ditetapkan untuk dinaikkan pangkat ke Gred UD48. Sebahagian besar urusan kenaikan pangkat ke Gred UD48 ini dijangka dapat dilaksanakan sebelum 31 Mac 2010.
 
2.       Penambaikan Laluan Kerjaya
 
          Di sini saya memaklumkan bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan penambahbaikan laluan kerjaya bagi Pegawai Perubatan, Pergigian dan Farmasi. Kerajaan telah mengkaji dan menyediakan pelan laluan kerjaya untuk Pegawai Perubatan secara komprehensif dari gred lantikan hingga ke Gred 54. Inisiatif ini dilaksanakan bertujuan untuk menambahbaik laluan kerjaya Pegawai Perubatan bagi memberi peluang kepada mereka untuk meningkat hingga ke Gred 54 dalam tempoh yang lebih wajar. Pelan laluan kerjaya ini turut dipanjangkan kepada Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi.
          Pelan laluan kerjaya bagi Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi ini adalah seperti berikut :
(a)         Kenaikan ke Gred 44
 
Bagi Pegawai Pergigian setelah berada di Gred 41 untuk tempoh dua tahun, dan bagi Pegawai Farmasi setelah tiga tahun.
(b)         Kenaikan ke Gred 48
 
Bagi Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian setelah berada di Gred 44 selama tiga tahun, atau tarikh warta pakar mana yang terdahulu; dan
Bagi Pegawai Farmasi setelah berada di Gred 44 selama empat tahun.
(c)     Kenaikan ke Gred 52
 
Bagi Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian Klinikal/Pentadbiran setelah berada di Gred 48 selama empat tahun atau tertakluk kepada kekosongan jawatan mana yang lebih awal. Manakala Pegawai Perubatan (Pakar) dan Pegawai Pergigian (Pakar) setelah berada dua tahun di Gred 48 atau tertakluk kepada kekosongan jawatan mana yang lebih awal dan tertakluk kepada perakuan Panel Penilaian Kepakaran, KKM; dan
Bagi Pegawai Farmasi setelah berada di Gred 48 selama empat tahun tertakluk kepada kekosongan jawatan mana yang lebih awal.
(d)     Kenaikan ke Gred 54
Bagi Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian Klinikal/Pentadbiran setelah berada di Gred 52 selama tiga tahun atau tertakluk kepada kekosongan jawatan mana yang lebih awal. Bagi Pegawai Perubatan (Pakar) dan Pegawai Pergigian setelah berada dua tahun di Gred 52 atau tertakluk kepada kekosongan jawatan mana yang lebih awal dan tertakluk kepada perakuan Panel Penilaian Kepakaran, KKM;
Bagi Pegawai Farmasi setelah berada di Gred 52 selama tiga tahun atau tertakluk kepada kekosongan jawatan mana yang lebih awal;
Bagi Pegawai Perubatan (Pakar) dan Pegawai Pergigian (Pakar), kenaikan pangkat daripada Gred 54 ke Gred Khas C dan ke atas adalah berdasarkan kepada perakuan Panel Penilaian Kepakaran KKM; dan
Bagi Pegawai Perubatan Klinikal/Pentadbiran, Pegawai Pergigian Klinikal/Pentadbiran dan Pegawai Farmasi, kenaikan pangkat dari Gred 54 ke Gred Utama C dan ke atas adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan.
Berdasarkan pelan laluan kerjaya yang dinyatakan tersebut, tempoh masa maksimum bagi pegawai yang memenuhi syarat kenaikan pangkat untuk dinaikkan pangkat ke Gred 54 dari tarikh mula berkhidmat seperti berikut:
(a)     Pegawai Perubatan (Pakar)                          –        9 tahun
(b)     Pegawai Pergigian (Pakar)                           –        9 tahun
(c)     Pegawai Perubatan (Klinikal/Pentadbiran)     –        12 tahun
(d)     Pegawai Pergigian (Klinikal/Pentadbiran)      –        12 tahun
(e)     Pegawai Farmasi                                         –        14 tahun
Penambahbaikan pelan laluan kerjaya ini adalah lebih baik berbanding tempoh purata pada masa sekarang iaitu :
(a)     Pegawai Perubatan (Pakar)                          –        11 tahun
(b)     Pegawai Pergigian (Pakar)                           –        11 tahun
(c)     Pegawai Perubatan (Klinikal/Pentadbiran)     –        17 tahun
(d)     Pegawai Pergigian (Klinikal/Pentadbiran)      –        17 tahun
(e)     Pegawai Farmasi                                         –        17 tahun
3.       Implikasi Kos
 
Bagi melaksanakan Pelan Penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi Kerajaan akan menambah perbelanjaan yang dianggarkan sejumlah RM200 juta setahun.
Melalui penambahbaikan laluan kerjaya ini, Kerajaan berharap Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi di KKM akan terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengambil tindakan susulan bersama-sama Kementerian Kesihatan bagi melaksanakan laluan kerjaya ini berdasarkan syarat kenaikan pangkat dalam skim-skim perkhidmatan berkenaan.
Kerajaan melaksanakan penambahbaikan laluan kerjaya ini sebagai mengiktiraf sumbangan dan peranan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Kerajaan yakin usaha penambahbaikan ini akan dapat meningkatkan komitmen dan azam mereka untuk menjayakan hasrat meningkatkan tahap perkhidmatan hospital kerajaan.

Leave a Reply