News_archive

Pemilikan Ekuiti Bumiputera Meningkat Kepada 23.09 Peratus Pada 2010, Kata Najib

By Monday April 23rd, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin mengumumkan bahawa pemilikan ekuiti Bumiputera pada nilai tara telah meningkat kepada 23.09 peratus bernilai RM167.7 bilion pada 2010 berbanding 21.9 peratus bernilai RM127.4 bilion pada 2008.

Angka tersebut diperoleh berasaskan keseluruhan ekuiti yang berjumlah RM726.4 bilion pada 2010 berbanding RM581.8 bilion pada 2008, kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pemilikan ekuiti Bumiputera ini termasuk pemilikan individu-individu, Institusi Kepentingan Bumiputera (institusi yang ditubuhkan khusus untuk menggembleng sumber tabungan Bumiputera) seperti Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Agensi Amanah (agensi yang ditubuhkan khusus dan diberi mandat oleh kerajaan bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam ekonomi) seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).

Ahmad Zaki bakal bekerjasama dengan TERAJU untuk memperkenal program pembangunan rantaian pembekalan dalam industri pembinaan di mana syarikat itu akan menawarkan kontrak pembekalan bernilai RM500 juta.

MITC Ancasa Hotel pula akan melabur RM100 juta dalam jangka masa tiga tahun untuk merealisasi pelan perkembangan perniagaannya secara agresif, yang bakal memberi peluang kepada syarikat Bumiputera yang lain melalui pewujudan perniagaan sampingan, termasuk makanan halal, logistik serta persembahan kebudayaan.

Sementara itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam satu kenyataan berasingan, berkata pemilikan ekuiti Bumiputera tertinggi mengikut sektor terdiri daripada industri kewangan, insurans dan takaful, yang telah meningkat kepada 37.56 peratus bagi tahun 2009 dan 38.97 peratus pada tahun 2010.

Dari segi nilai, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam industri berkenaan meningkat daripada RM53.35 bilion pada tahun 2009 kepada RM65.37 bilion pada tahun 2010, iaitu peningkatan sebanyak 22.5 peratus

Industri perdagangan borong dan runcit merupakan industri yang mempunyai bilangan syarikat Bumiputera tertinggi berbanding industri lain, katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply