News_archive

Pemergian Mazlan Nordin Satu Kehilangan Kepada Dunia Kewartawanan – Najib

By Thursday March 22nd, 2012 No Comments

PETALING JAYA, 23 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian Allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan.

Beliau berkata jasa dan sumbangan Allahyarham akan sentiasa dikenang oleh kerajaan dan rakyat.

“Minat Allahyarham dalam bidang penulisan (terlalu mendalam) saya difahamkan dalam saat-saat akhir beliau masih menulis.

“Ini menunjukkan semangat beliau untuk menulis dan membuat karya tidak pernah padam walaupun dalam masa persaraan,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Allahyarham Mazlan di rumah anak perempuannya di Seksyen 16 di sini malam Khamis.

Najib, yang berbaju Melayu krim, tiba pada 11.55 malam.

“Allahyarham merupakan seorang tokoh dalam zaman ayahanda saya, bagi pihak diri saya, ia merupakan satu kehilangan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan Malaysia.

“Allahyarham merupakan salah seorang tokoh kewartawanan yang sangat-sangat dihormati, bukan sahaja dalam kalangan wartawan tapi juga dalam kalangan masyarakat kerana penulisan beliau yang tajam dan tepat,” katanya.

Mazlan, 86, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 4.15 petang.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira 10 pagi esok.

Sumber : Bernama

Leave a Reply