News_archive

Pembangunan Seimbang Agar Golongan Berpendapatan Rendah, Sederhana Sejahtera Di Bandar

By Saturday February 18th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) — Kerajaan akan mengimbangi pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana boleh menikmati kehidupan yang selesa di bandar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata dengan keseimbangan ini, ia membolehkan bukan sahaja mereka yang berpendapatan tinggi mampu hidup selesa di bandar malah mereka yang lain termasuk kakitangan awam juga hidup dalam selesa dan sejahtera.

“Pada hari ini, lebih 60 peratus daripada penduduk Malaysia menjadi penghuni di kawasan bandar besar dan kecil.

“Sebab itulah sambil kita menguruskan pembangunan luar bandar, kita perlu juga imbangi kemudahan dan pembangunan di kawasan urban supaya kawasan bandar tidaklah hanya untuk mereka yang berpendapatan tinggi sahaja manakala mereka yang makan gaji, pendapatan kecil dan sederhana tidak dapat tinggal di bandar dalam keadaan selesa,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 hadirin pada majlis perasmian kuarters baru Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 4 1/2 Jalan Cheras di sini hari ini.

Najib berkata di bawah agenda transformasi kerajaan dan transformasi ekonomi, kesejahteraan hidup di bandar juga menjadi agenda penting yang diberi perhatian oleh kerajaan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di bandar.

Antara aspek penting yang diberikan tumpuan adalah penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam menerusi pembinaan Projek Aliran Transit Massa Lembah Klang (MRT) serta inisiatif lain seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Amanah Saham Rakyat 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata pembinaan kuarters JKR bagi menggantikan kuarters yang sebelum ini bertujuan memastikan pegawai dan penjawat awam mengecapi kualiti hidup yang lebih baik.

“Bila kita sebut bahawa kita memperjuangkan untung nasib dan mendahulukan rakyat, pegawai dan penjawat awam juga tergolong dalam kategori rakyat kerana mereka adalah petugas kita yang melaksanakan pelbagai program dan kemudahan untuk kita.

“Sewajarnya, mereka mengecapi kualiti hidup yang lebih baik lagi yang dapat disediakan oleh kita,” katanya.

Selain itu, katanya, kuarters JKR ini juga mencerminkan bahawa satu perubahan urbanisasi yang begitu ketara telah berlaku di dalam negara ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyerahkan replika kunci kepada penghuni kuarters berkenaan, menyampaikan bantuan di bawah program BR1M dan sumbangan kepada pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.

Pada September 2009, Najib mengumumkan peruntukan RM28 juta untuk membina kuarters JKR yang baru di Batu 2 1/2 Jalan Cheras bagi menggantikan kuarters jabatan itu yang serba kekurangan dan berkeadaan usang.

Kuarters baru yang menelan belanja RM19 juta dan mengambil masa kurang 18 bulan, dibina dalam bentuk bangunan sembilan tingkat kelas G yang mempunyai 60 unit rumah dan kemudahan-kemudahan lain termasuk tabika serta gelanggang futsal.

Kuarters ini dibina dengan menggunakan Sistem Industri Binaan yang dapat mempercepatkan masa pembinaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja yang ramai serta meningkatkan kawalan terhadap kebersihan di kawasan tapak.

Sumber : Bernama

Leave a Reply