News_archive

Pembangunan Harus Bermula Dengan Pendidikan Awal Kanak-kanak

By Tuesday April 14th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Memajukan negara dan rakyatnya hendaklah bermula dengan pendidikan awal kanak-kanak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Setiap kanak-kanak itu bernilai dan kanak-kanak adalah aset kepada masyarakat. Mereka adalah sumber paling bernilai negara. Saya percaya membangunkan sesebuah negara dan rakyatnya bermula dengan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya semasa merasmikan Persidangan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Antarabangsa Malaysia mengenai “Membangunkan Modal Insan dengan Kanak-kanak” di sini Selasa.

Turut hadir ialah isteri Najib yang juga penaung program Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Perdana Menteri Pakistan Begum Fauzia Yousaf Raza Gilani; wanita pertama Zambia, Thandiwe Banda; dan isteri Timbalan Perdana Menteri Tetap Laos Bounkongmany Lengsarad.

Najib berkata adalah menjadi tugas ibu bapa untuk menentukan kanak-kanak mempunyai peluang untuk berkembang, dan menjadi tanggungjawab kerajaan pula membantu ibu bapa membimbing potensi ini menuju kejayaan.

“Dalam mengembangkan potensi seseorang kanak-kanak, kita sebenarnya membangunkan modal insan kanak-kanak dan juga negara.

“Dalam melaksanakan tugas ini, kita membolehkan kanak-kanak itu berkembang secara holistik agar ia dilengkapi dengan kebolehan, ilmu dan kemahiran untuk menjadi anggota negara yang produktif,” ujar beliau.

Najib berkata peranan keluarga diiktiraf sebagai amat genting dalam membentuk dan membina kanak-kanak menjadi warga yang berguna dan perkasa.

“Saya ingin menegaskan lagi tanggungjawab penting keluarga terhadap pembangunan insan dan pembinaan nilai-nilai budaya, moral dan sosial anak-anak mereka.

“Bimbingan ibu bapa paling kerap dalam bentuk menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti oleh kanak-kanak, dan ini paling baik dilakukan pada usia awal kanak-kanak,” kata beliau.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pakar-pakar ekonomi sudah lama mempercayai bahawa pelaburan dalam pendidikan awal adalah strategi yang baik dalam membangunkan modal insan yang sebaliknya menjadi sumber penting bagi pertumbuhan ekonomi.

“Kanak-kanak adalah generasi masa depan yang mempunyai potensi untuk mengendali ekonomi negara sebagai pemimpin, inovator, usahawan, penyelidik dan pakar ekonomi,” kata beliau.

Beliau berkata cabaran sekarang ialah untuk bekerjasama bagi menentukan semua kanak-kanak mendapat permulaan hidup sebaik mungkin menerusi penjagaan dan pembelajaran yang berkualiti pada tahun-tahun paling awal oleh kerana faedah pada pelaburan ini akan dapat dilihat pada tahun-tahun mendatang kehidupan mereka.

Beliau berkata kerajaan juga mengenalpasti bahawa aksesibiliti dan kemampuan merupakan isu utama berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya, kerajaan telah memberi pengurangan cukai 10 peratus setahun kepada majikan yang menyediakan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja atas kos penubuhan pusat bagi tempoh 10 tahun sebagai insentif.

“Agensi-agensi kerajaan yang menyediakan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja akan diberi geran RM80,000 untuk renovasi dan kelengkapan perabot.

“Saya ingin menggesa sektor swasta memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka dengan mengadakan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja untuk pekerja mereka,” kata beliau.

Najib berkata, sehubungan itu kerajaan kini telah menggubal Dasar Kebangsaan bagi Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak dan telah menerima kurikulum Permata sebagai prinsip panduan untuk kurikulum kebangsaan.

Beliau berkata kerajaan memutuskan untuk memulakan projek permata ke pusat-pusat penjagaan kanak-kanak ker ajaan dan badan-badan berkanun dan tambahan RM150 juta diperuntukkan kepada Permata bagi melicinkan pelaksanaannya.

“Saya difahamkan pada penghujung tahun ini, lebih daripada 300 pusat penjagaan kanak-kanak akan dimulakan sebagai pusat Permata.

“Walaupun penerimaan pakai kurikulum Permata belum diwajibkan di peringkat nasional, namun saya ingin menggalakkan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak swasta mula menggunakannya,” kata beliau.

Kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta bagi projek percubaan Permata di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dan dalam tempoh dua tahun, Permata telahpun menubuhkan 14 pusat di seluruh negara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply