News_archive

Pembangunan Bola Sepak Dari Akar Umbi Perlu Digembleng Secara Terancang – Najib

By Sunday April 8th, 2012 No Comments

SUBANG, 8 April (Bernama) — Pembangunan sukan bola sepak dari peringkat akar umbi perlu digembleng secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya beliau suka melihat kanak-kanak dan remaja negara ini dapat bermain bola sepak mengikut proses dan latihan yang betul.

“Saya benar-benar percaya masa depan bola sepak Malaysia bergantung kepada pembangunan bola sepak untuk kanak-kanak dan remaja yang sistematik,” katanya ketika melancarkan Liga 1MCC-Astro Kem BOLA (Bakat, Objektif, Lincah dan Aksi) di padang Institut Penyelidikan Getah (RRI), Sungai Buloh dekat sini, hari ini.

Katanya inisiatif seperti Liga 1Malaysia Cardiff City (1MCC) yang digerakkan Pengerusi 1MCC Datuk Chan Tien Ghee adalah antara usaha murni untuk memberi kesan terhadap peningkatan mutu bola sepak tanah air.

Seramai 2,200 peserta telah mendaftar untuk menyertai Liga 1MCC yang melibatkan kelab bola sepak terkemuka iaitu Cardiff City di mana kelab itu akan memilih 24 pemain terbaik bagi menyertai program bola sepak di United Kingdom.

Liga 1MCC merupakan liga yang diperakui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan satu platform untuk mereka yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak dalam satu persekitaran yang ceria, selamat dan terancang.

Beliau yakin penglibatan Cardiff City dalam sistem Liga 1MCC, yang turut menarik penyertaan golongan di bawah umur 12 tahun, akan mendapat sokongan rakyat negara ini.

“Rakyat Malaysia penuh bersemangat (jika bercakap) mengenai bola sepak. Kita minum teh tarik dan bercakap mengenai bola sepak dan bercakap lebih banyak mengenai bola sepak daripada isu politik. Saya melihat sendiri keseronokan itu apabila Malaysia menang dalam Sukan SEA, Piala Suzuki dan ianya adalah hebat,” katanya.

Najib berkata sukan bola sepak terbukti mampu menyatu padukan rakyat negara ini.

“Bayangkan pasukan negara ini mampu memasuki peringkat Piala Dunia atau Olimpik, ia akan mengerakkan sokongan rakyat negara ini dalam satu keadaan yang tidak mungkin mampu dicapai oleh acara sukan yang lain,” katanya.

Najib berkata kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk membantu perkembangan mutu bola sepak negara.

“Semalam saya ada di Temerloh dan di sana ada stadium kecil dengan keupayaan 3,000 orang tetapi saya telah mengeluarkan peruntukan RM3 juta untuk membesarkan kapasiti stadium itu kepada 9,000 orang supaya rakyat Temerloh akan mendapat manfaat dari aktiviti sukan yang dibuat di sana,” katanya.

Katanya pembesaran stadium itu akan menghidupkan bandar kecil Temerloh dan akan memberi kesan kepada peniaga dan ekonomi tempatan.

“Sukan ini bukan pasal sukan sahaja, industri sukan itu ada kaitan dengan nilai ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2012, Najib yang juga Menteri Kewangan meluluskan sejumlah RM57 juta untuk pembinaan 2,000 gelanggang futsal di seluruh negara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply