News_archive

Pembangkang Hanya Pandai ‘Berkokok’ Tabur Fitnah, Kata Najib

By Saturday December 3rd, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) — Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembangkang bukanlah parti yang kuat sebaliknya hanya “kuat berkokok” dengan menabur pelbagai fitnah dan pembohongan semata-mata untuk menarik sokongan rakyat.

“Kita (Barisan Nasional) tidak pernah kecewakan rakyat, bohongi rakyat, yang jadi masalah ialah puak sana (pembangkang). Dia ini bukannya kuat sangat tetapi dia pandai berkokok, dia berkokok kuat, macam ayam, tetapi telurnya satu sahaja, kadang-kadang tidak bertelur pun macam ayam jantan.

“Berkokok sana, berkokok sini, bohong sana, bohong sini, tipu sini, tipu sana, fitnah sini, fitnah sana, main sini, main sana. Bohong tidak berhenti lepas itu dia kata kamilah juara tetapi parti sendiri kucar-kacir,” katanya semasa menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2011 yang disambut gelak ketawa anggota perwakilan.

Suasana menjadi lebih riuh apabila soalan Najib mengenai pembohongan terbesar pembangkang dijawab serentak para perwakilan yang merujuk kepada Misi 16 September 2008, iaitu janji untuk menawan Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.

“Saya tak payah sebut, perwakilan sudah sebut — 16 Sept. Dia hendak berarak ke Putrajaya. Dia boleh kata Yang di-Pertuan Agong (Tuanku Mizan Zainal Abidin) menunggu untuk mengangkat sumpah dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai perdana menteri.

“Saya bersama Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) masa itu, kita pun geleng kepala, daripada mana dia bercakap ini. Saya tanya Yang di-Pertuan Agong, Agong pun geleng kepala,” katanya yang disambut sorakan daripada anggota perwakilan.

Celahan Pengerusi Tetap Umno Datuk Badruddin Amiruldin yang beberapa kali meniru dialog “cer citer-cer citer” daripada filem “Hantu Kak Limah Balik Rumah” untuk meminta Najib terus membongkar pembohongan parti pembangkang, mengamatkan lagi suasana perhimpunan.

Najib berkata pembangkang juga membuat dakwaan bahawa 30 anggota Parlimen BN akan melompat parti tetapi perkara itu juga tidak berlaku, sekaligus memecahkan tembelang pembangkang.

“Tawaran memang ada tetapi tidak ada seorang pun anggota Parlimen kita yang menyeberang. Dia janji macam-macam jawatan tetapi dia pandai, dia guna orang ketiga, satu proses yang tak demokratik.

“Selepas itu dia (Anwar) bagi tahu tentera Malaysia di belakang dia, Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar sokong dia. Saya kawan dia (Abdul Aziz), saya tahu dia (Abdul Aziz) setia dan taat pada kerajaan. Ini pembohongan yang terbesar dalam sejarah kita,” katanya.

Najib berkata sejak mengambil alih tugas Perdana Menteri hampir tiga tahun, pembangkang secara berterusan telah “menyerang” dirinya dan isteri, malah menyebabkan beliau telah empat kali terpaksa bersumpah di masjid sebagai bukti untuk menangkis tohmahan dan fitnah ke atas dirinya.

“Saya hendak tanya dia berapa kali bersumpah? Ada dia bersumpah dalam masjid? Ada dia sumpah di luar masjid, ada dia junjung Al-Quran? Di mahkamah pun tak berani bersumpah, masuk dalam kandang orang salah pun masih tidak berani bersumpah,” katanya.

Najib turut menyelar Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang dikatakan telah mencipta rekod dalam Guinness Book of Records sebagai parti yang anggotanya paling ramai keluar parti.

Sementara insiden kecederaan Anwar dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu semasa perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lepas disifatkan Najib sebagai drama puak pembangkang semata-mata.

“Skrip dia masuk hospital sudah ada sebab tiba-tiba kena papah, orang kata boleh dapat Oscar Hollywood. Padahal tak kena apa pun, saya sudah bagi tahu polis jangan usik dia, tetapi dia buat macam kena belasah, padahal orang tak jentik pun,” katanya.

Mengenai parti PAS pula, Perdana Menteri berkata PAS sanggup diperkudakan oleh DAP semata-mata untuk mendapatkan kerusi.

Beliau kemudiannya menggulangi cabarannya supaya parti itu meninggalkan DAP sekiranya ia benar-benar memperjuangkan Islam.

“Saya tidak perlu menyakinkan tuan puan (perwakilan), tetapi pada orang, 12 juta pengundi di luar sana bahawa yakinlah selagi ada pakatan yang rapuh, tidak ikhlas dan bertentangan antara satu sama lain seperti ini, kita tidak boleh menyerahkan negara kita yang tercinta kepada mereka (pakatan pembangkang),” katanya yang disambut tepukan gemuruh anggota perwakilan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply